31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Peguam, graduan pimpin Srikandi Muda Bersatu

Mereka berdua adalah profesional muda yang mempunyai komitmen tinggi dalam parti.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan pelantikan pimpinan Srikandi Muda bagi menyuntik kekuatan baharu jentera parti dalam kalangan anak muda.

Mereka ialah Nurul Fadzilah Kamaluddin yang dilantik sebagai Ketua Sayap Srikandi Muda (Penaja) manakala Suhainna Jamri pula sebagai Naib Ketuanya.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Nurul Fadzilah, 32, merupakan seorang peguam muda yang mempunyai firma guaman sendiri.

Manakala Suhainna, 28, adalah seorang graduan yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Belia.

“Mereka berdua adalah profesional muda yang mempunyai komitmen tinggi dalam parti dan sentiasa aktif dalam gerak kerja parti di peringkat cawangan dan bahagian masing-masing.

“Pelantikan mereka adalah amat bertepatan dengan aspirasi parti untuk menjadikan sayap Srikandi Muda Bersatu sebagai sumber kekuatan baharu bagi meraih sokongan golongan muda dalam PRU-15 akan datang,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Penubuhan sayap Srikandi Muda dimuktamadkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu hujung tahun lalu itu merupakan pengiktirafan besar parti terhadap golongan wanita.

Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun mengumumkan penubuhan Srikandi Muda dalam ucapan dasarnya sempena perhimpunan tersebut.

Menurut beliau, platform di bawah Agenda Pemerkasaan Srikandi, Agenda Bertindak 2.0 (2020-2035) itu dijangka bakal melatih pemimpin dan pelapis dari golongan muda bersama Bersatu.

“Penubuhan platform Srikandi Muda adalah wadah baharu dalam mengemudi anak muda ke puncak kejayaan. Saya ingin tekankan bahawa adalah amat penting untuk kita melatih bakal pemimpin, pelapis kita sedari usia muda.

“Memandangkan usia layak mengundi adalah 18 tahun, kita adakan program outreach golongan mahasiswa/beliawanis dan remaja agar mereka sertai Srikandi.

“Srikandi Muda adalah harapan kita dalam membawa parti Bersatu untuk terbang lebih tinggi, dan mustahil berpatah arang dalam perjuangan membawa panji-panji rakyat,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan