30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kes LCS: Muhyiddin serah kepada pihak berkuasa untuk siasat

Kabinet wajar menubuhkan RCI bagi menyiasat isu tersebut secara lebih menyeluruh.

Mesti Baca

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan seorang menteri dari parti itu terlibat dalam kes projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS).

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendirian itu selari dengan prinsip parti tersebut yang menjujung integriti dan ketelusan.

Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun tetap berpendirian bahawa Kabinet wajar menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu tersebut secara lebih menyeluruh.

“Saya memandang serius penemuan laporan audit forensik yang telah diterbitkan mengenai skandal LCS yang antara lain menimbulkan dakwaan penglibatan seorang menteri daripada Bersatu dalam skandal tersebut.

“Menteri berkenaan telah mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan beliau.

“Sebagai sebuah parti yang menjunjung prinsip integriti dan ketelusan, Bersatu menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan ini sekiranya berasas,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Sebelum ini Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dikatakan terlibat dalam kes LCS yang kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Rafizi mendakwa Abd Latiff dan individu bernama Zainab Mohd Salleh mempunyai kaitan dengan syarikat subkontraktor dalam projek pembinaan kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu.

Beliau berkata, beberapa bukti penglibatan Abd Latiff melalui Zainab, iaitu individu dipercayai isteri kepada bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu dan syarikat, Alizes Marine Limited boleh dilihat melalui Laporan Forensik Projek LCS yang dinyahwarta.

Katanya, menerusi laporan audit tersebut, ia secara jelas menyatakan bahawa Zainab merupakan isteri kepada Abd Latiff yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan.

Bagaimanapun, Abd Latiff yang juga Ahli Parlimen Mersing menafikan wanita yang dikaitkan dalam siasatan projek LCS itu adalah isterinya.

Dr Abd Latiff berkata, beliau juga bersedia memberikan kerjasama penuh dengan siasatan pihak berkuasa terhadap isu itu.

“Merujuk kepada laporan berita yang tular berkaitan siasatan projek LCS, saya menegaskan bahawa Zainab Mohd Salleh, bukan isteri saya seperti yang dinyatakan dalam laporan berita.

“Sebagai anggota Kabinet, saya bersedia memberi kerjasama penuh jika pihak berkuasa ingin menjalankan siasatan selanjutnya,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan