30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Tangani segera isu pekerjaan di bawah kelayakan pendidikan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN perlu menangani segera isu pekerjaan di bawah kelayakan pendidikan serta fenomena graduan bekerja dalam industri gig khususnya penghantar makanan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, isu tersebut perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan selain masalah pengangguran.

“Kita harus sedar bahawa pengangguran dan underemployment merupakan satu bentuk kerugian kepada negara, ia berupa pembaziran sumber daya manusia.

“Sekiranya underemployment dapat dihapuskan dan pekerja yang berkepakaran berpeluang untuk bekerja di dalam pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran maka mereka akan dapat memberikan sumbangan produktiviti yang jauh lebih besar kepada ekonomi,”katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Beliau mengulas laporan media berhubung keputusan seorang graduan yang sanggup bekerja sebagai penghantar makanan kerana mampu menjana pendapat sehingg RM4,000 sebulan berbanding pekerjaan berdasarkan kelayakan pendidikannya.

Asyraf Wajdi berkata, berdasarkan perangkaan terbaharu yang dikeluarkan Jabatan Statistik Negara setakat Mei 2022 menunjukkan kadar pengangguran dalam negara adalah 3.9 peratus bersamaan 637,700 orang.

ASYRAF WAJDI DUSUKI

Mengenai pekerjaan di bawah kelayakan pendidikan, beliau berkata, kelompok itu dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu time-related underemployment dan skilled-related underemployment

Time-related bermaksud pekerja yang bekerja kurang dari 30 jam seminggu disebabkan pekerjaan yang tidak cukup. Skilled-related underemployment mereka yang terpaksa bekerja dibawah kelayakan pendidikan mereka.

Katanya, time related underemployment setakat 2021 ialah seramai 417,000 atau 2.8 peratus manakala skilled-related underemployment pula adalah seramai 285,000 atau 1.9 peratus.

“Fenomena graduan bekerja dalam industri gig atau sebagai penghantar (p-hailing atau e-hailing) juga salah satu daripada isu yang perlu ditangani,”kata beliau.

Asyraf Wajdi juga berkata, kelembapan ekonomi dan kejatuhan tingkat pelaburan merupakan punca utama menyebabkan pengangguran dan underemployment dalam kalangan anak muda meningkat.

Sehubungan itu, jelas beliau, kerajaan perlu mencari idea-idea baru yang dapat membantu memacu pemulihan ekonomi negara pasca-Covid-19 ini.

“Sebab itulah pentingnya strategi penciptaan peluang-peluang pekerjaan mesti dirangka secara komprehensif dan holistik mengambil kira pendekatan ekonomi yang progresif dan berdaya maju.

“Ini untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan, pada masa sama mampu menarik minat pelabur-pelabur berkualiti yang berupaya mencipta pekerjaan berkualiti untuk rakyat.

“Termasuklah perencanaan projek-projek mega berdaya maju yang mampu mencetuskan anjakan drastik kepada ekonomi negara,” tegas beliau.

Katanya, rancangan pemulihan ekonomi negara bukan sahaja bergantung kepada polisi yang mantap tetapi juga sangat bergantung kepada kestabilan politik agar pelan ekonomi yang dirangka dapat dilaksanakan.-

“Sekiranya mereka yang menganggur ini berpeluang untuk bekerja, sudah pastinya saiz ekonomi negara akan jauh lebih besar daripada sekarang hasil dari pertambahan potensi output dan perkhidmatan yang dapat dihasilkan,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan