31.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Ini baru permulaan, perkenal diri kepada dunia – Azeem

Mesti Baca

PELARI pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi menganggap penyertaannya dalam Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia sebagai permulaan baginya untuk melangkah lebih jauh.

Dia yang memecahkan rekod 100 meter kebangsaan dengan catatan 10.09 saat di kejohanan itu juga menganggap penyertaannya itu sebagai medan untuk memperkenalkan diri kepada dunia.

“Ini hanyalah permulaan, memperkenalkan diri kepada dunia… Alhamdulillah untuk semua, terima kasih,” katanya menerusi ciapan twitternya sejurus menduduki tempat kelima acara itu semalam.

Pelari berusia 18 tahun dari Ipoh, Perak itu bersaing bersama jaguh pecut muda dari Botswana, Letsile Tebogo yang mencipta rekod baharu dunia bagi bawah 20 tahun (B20) dengan masa 9.09 saat.

Dia juga tanpa segan membalas ciapan bekas raja pecut dunia, Usain Bolt dengan berkata: “saya yang nombor 5 tu bang kalau abang perasan la” dalam bahasa Melayu.

Advertisements

Sementara itu, penyertaan Azeem dalam acara 200 meter di Cali hari ini terkandas di peringkat separuh akhir apabila sekadar menduduki tempat ke-15.

Azeem yang bersaing bersama Tebogo dalam separuh akhir kedua mencatatkan masa 20.97 saat.

Sebelum ini, dalam saingan peringkat kelayakan, pelari 18 tahun dari Ipoh, Perak itu memecahkan rekod B20 kebangsaan acara tersebut dengan masa 20.83s.

Sementara itu, pelari muda Thailand, Puripol Boonson sekali lagi membuktikan bahawa dia adalah pelari paling pantas di Asia Tenggara apabila mencatatkan masa 20.61s.

Masa yang dicatatkan Boonson yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA 2021 Hanoi bagi 100m dan 200m baru lalu, sekadar meletakkanya di kedudukan kelapan.

Dalam saingan separuh akhir itu, pelari Israel, Blessing Akawasi Afrifah mencatatkan masa terpantas iaitu 20.17s diikuti oleh Tebogo (20.23s) dan Bryan Levell (Jamaica – 20.34s). – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan