32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

TMJ titah selesai masalah graduan menganggur, gaji rendah

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitahkan agar masalah lambakan graduan menganggur dan bayaran gaji rendah yang diberikan kepada mereka diatasi kerana sudah berlarutan bertahun-tahun lamanya.

Tunku Ismail bertitah, senario berkenaan menunjukkan kebolehpasaran golongan berkenaan yang rendah dan ketidakpadanan antara permintaan dan penawaran kemahiran.

“Isu ini bukan sahaja kesan daripada pandemik, tetapi masalah sistemik yang telah wujud selama bertahun-tahun. Pada masa ini bilangan pelajar universiti yang menamatkan pengajian melebihi bilangan peluang pekerjaan yang ada.

“Jika kita tidak menangani isu ini dengan segera, populasi belia yang berpendidikan tetapi menganggur akan bertambah. Isu-isu ini perlu ditangani dengan segera dan sistematik untuk membantu graduan meningkatkan kebolehpasaran mereka di masa hadapan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Sebelum itu baginda menerima mengadap Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar di Royal Johor Polo Club pada Ahad.

Titah Tunku Ismail lagi, Noraini telah memberi jaminan bahawa kementerian tersebut sedang meneliti isu-isu tersebut pada waktu ini.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dua tahun lalu menyebabkan gangguan besar kepada pelajar universiti dan pensyarah kerana peralihan mendadak kepada pembelajaran dalam talian.

“Isu-isu seperti akses terhad kepada peranti pintar dan sambungan internet yang lemah menyebabkan ramai pelajar terjejas dan membawa kepada motivasi diri yang rendah.

Tunku Ismail bertitah, pembahagian antara pelajar universiti yang berkemampuan dan yang kurang berkemampuan begitu ketara dalam tempoh dua tahun yang lalu, di mana pelajar yang lebih berkemampuan berada di hadapan dalam memperoleh pendidikan yang berharga.

“Selepas pandemik, sewaktu kembali kepada pengajaran berasaskan fizikal, universiti dan pendidik mesti mengingati bahawa impak pembelajaran dalam talian selama 2 tahun adalah berbeza bagi mereka yang berkemampuan berbanding mereka yang kurang berkemampuan.

“Usaha mesti dilakukan untuk menampung perbezaan ini dan memastikan pelajar yang kurang berkemampuan tidak ketinggalan.

Dalam pada itu, Tunku Ismail menzahirkan harapan agar semua pelajar negeri Johor terus bekerja keras dan cemerlang di IPTA.

“Pertumbuhan modal insan berkemahiran di seluruh negeri Johor adalah penting untuk pembangunan tenaga kerja yang berdaya saing di peringkat antarabangsa dan inovatif yang akan membantu merangsang aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai tambah yang lebih tinggi.

“Sebagai ganjaran, ia akan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi untuk graduan kita,” kongsinya.

Dalam perkembangan lain, Tunku Ismail telah mencadangkan agar Persatuan Mahasiswa Anak Johor diwujudkan semula di semua universiti tempatan.

“Ini akan menjadi platform kepada pelajar-pelajar Johor menjalankan pelbagai aktiviti dan program sambil berkongsi idea dan pendapat.

“Persatuan-persatuan ini akan menjadi sebahagian daripada Gabungan Mahasiswa Anak Johor (GAJ) yang lebih besar. Aktiviti-aktiviti dan acara baharu juga akan dianjurkan di bawah GAJ ​​seperti kejohanan bola sepak antara universiti.

Malah ujar Tunku Ismail, beliau berharap negeri Johor sentiasa dipilih sebagai pilihan hab pendidikan tempatan dan antarabangsa.

“Pelajar-pelajar tempatan mesti diberi lebih banyak peluang untuk mendapat pendidikan tinggi yang lebih berkualiti dan berpatutan.

“Johor juga memerlukan polisi pendidikan tinggi yang berpandangan ke hadapan yang merangkumi penggunaan pembelajaran berasaskan pengalaman untuk menyemai kemahiran abad ke-21.

Menurut Tunku Ismail, reka bentuk dan penyampaian modul pendidikan perlu memanfaatkan teknologi termaju untuk membolehkan pembelajaran yang lebih khusus.

“Pada masa yang sama pendidikan TVET juga mesti diberi keutamaan untuk menjana lebih ramai pekerja mahir untuk pelbagai industri dan meningkatkan kebolehpasaran graduan,” kongsinya.

-EDISI9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan