32.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

JIPS siasat kes pegawai polis wanita buat ‘live’ masa serbuan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

TINDAKAN seorang pegawai polis wanita yang sewenang-wenangnya membuat rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok semasa serbuan di sebuah pusat hiburan mengundang padah apabila pegawai terbabit akan disiasat Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS).

Arahan itu dikeluarkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain dan mengarahkan JIPS turut menyiasat video tular berkenaan.

Razarudin berkata, pihaknya sedang meneliti bila dan di mana rakaman video secara langsung itu dibuat.

“Saya sudah mengarahkan JIPS untuk ambil tindakan terhadap pegawai terbabit termasuk memanggilnya bagi mendapatkan kenyataannya berhubung tindakan membuat video secara langsung semasa operasi itu.

“Kita juga ingin mengetahui motif dan tujuan sebenarnya membuat rakaman menerusi akaun TikTok miliknya,” katanya, lapor Sinar Harian.

Advertisements

Razarudin berkata, satu arahan berhubung penggunaan media sosial dalam kalangan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama membabitkan aplikasi TikTok akan dikeluarkan oleh JIPS.

“Pihak JIPS tidak akan berkompromi dalam perkara ini dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya benar pegawai terbabit mempunyai motif merakam video berkenaan semata-mata mengumpulkan pengikut laman sosial akaun TikTok miliknya,” katanya.

Dalam video berdurasi satu minit 38 saat itu wanita berpakaian jaket seragam operasi PDRM berpangkat Asisten Superintendan (ASP) menerangkan tentang sebahagian skop kerjanya menjalankan serbuan dan pemeriksaan.

Pada pertengahan video, dia menyatakan rasa terkejut kerana video berkenaan ditonton secara langsung oleh lebih 1,400 pengikut selain turut mengharapkan akaun TikTok miliknya diikuti oleh lebih 100,000 pengikut lain.

Tindakannya membuat video secara langsung itu didapati mengundang kecaman masyarakat kerana didakwa mengambil peluang ketika operasi dalam mempromosikan akaun TikTok miliknya.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan