27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Jawatan Senator akan dilantik dalam kalangan belia – PM

Kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 40 tahun menunjukkan penurunan kepada 5.3 peratus bagi suku pertama 2022.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN memutuskan akan melantik seorang Senator dalam kalangan belia bagi mendengar pandangan dan suara golongan berkenaan dalam pembangunan negara.

Pelantikan itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah sejajar dengan pengiktirafan kerajaan ke atas sumbangan golongan belia.

“Pandangan belia pastinya dihargai kerajaan kerana golongan ini merupakan kumpulan pelapis kepimpinan masa hadapan negara.

“Oleh itu, saya umumkan untuk melantik seorang Senator bagi mewakili belia di Dewan Negara agar suara serta pandangan belia turut akan diambil kira.

“Saya percaya dengan adanya wakil belia di Dewan Negara, suara belia akan kita dengari secara terus dari wakil belia kerana masa depan negara bergantung kepada warga belia,” katanya ketika melancarkan sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2022 peringkat Kebangsaan di Padang Pekan Tuaran, Sabah.

HBN 2022 memilih Tuaran yang terkenal dengan kawasan peranginan dan destinasi pelancongan sebagai lokasi untuk meraikan belia-belia Keluarga Malaysia dari seluruh negara.

Kata Perdana Menteri lagi, Hari Belia Negara 2022 diadakan bagi memenuhi permintaan belia agar sambutan diadakan di luar kesibukan kota.

Sementara itu, Ismail Sabri mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk dikongsikan bersama pertubuhan belia lain untuk melaksanakan aktiviti masing-masing.

“Banyak lagi program yang diatur dan dirancang termasuk kempen-kempen dan pelbagai program lain.

“Saya dimaklumkan dari segi pentadbiran sudah diberikan peruntukan sebanyak RM1 juta tapi untuk aktiviti termasuk pertubuhan belia lain di bawah MBM tiada,” katanya.

Ismail Sabri melambai kepada orang ramai yang turut hadir pada sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2022 peringkat Kebangsaan di Padang Pekan Tuaran.

Sementara itu, dalam program yang sama, Ismail Sabri memberitahu kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 40 tahun di negara ini menunjukkan penurunan kepada 5.3 peratus bagi suku pertama 2022.

“Peratusan itu sedikit menurun berbanding 5.9 peratus bagi tempoh masa sama tahun lalu.

“Hal ini menjadikan bilangan penganggur pada suku pertama tahun ini adalah seramai 585,000 orang berbanding 627,000 orang untuk tahun sebelumnya.

“Bagaimanapun, saya menjangkakan jumlah ini akan terus menurun sekiranya kita mengambil tahu dan peduli pelbagai inisiatif serta program yang tersedia untuk semua belia yang ada di seluruh negara.

“Terbaharu, kerajaan melalui kerjasama strategik Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) memberi tumpuan lebih kepada pertanian bandar.

“Ini merupakan strategi bagi meningkatkan penglibatan golongan belia dalam sektor agromakanan selain Program Agropreneur Muda. Sejumlah 8,000 usahawan muda sudah menerima bantuan meliputi geran, pembiayaan, serta kursus jangka masa pendek, khidmat nasihat teknikal dan kewangan,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menyatakan Agro makanan dapat memberi pendapatan lumayan kepada pengusahanya sekiranya diusahakan secara bersungguh-sungguh menggunakan teknologi terkini.

“Ia dapat menjamin kualiti pengeluaran yang boleh dieksport bagi membantu menambahkan hasil negara.

Penglibatan belia dalam sektor agromakanan akan diperkasa melalui pelaksanaan program Agro Job Fair@MAHA 2022 pada bulan hadapan yang menawarkan 5,000 peluang pekerjaan oleh syarikat-syarikat yang menyertainya.

“Oleh itu, saya menggesa graduan yang berminat serta golongan belia untuk merebut peluang pekerjaan dalam program ini.

Sementara itu, sempena sambutan Hari Belia Negara peringkat kebangsaan di Tuaran, beliau memaklumkan segmen Y-Career iaitu peluang kerjaya membabitkan 30 syarikat yang menawarkan 1,000 peluang pekerjaan untuk belia turut dibawa ke daerah ini.

Ismail Sabri berkata, semua kementerian dan agensi masing-masing turut menyediakan pelbagai program yang membabitkan golongan belia agar dapat terus memainkan peranan dalam pembangunan negara menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” katanya. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan