27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Fajim Juffa pernah terselamat dalam nahas pesawat

Kejadian yang pernah dialami Allahyarham bagaimanapun tidak mematahkan semangat dalam bidang penerbangan.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

JURULATIH penerbangan yang maut dalam tragedi pesawat ringan terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah, Sungai Rokam, Medan Gopeng di Ipoh malam tadi pernah terselamat dalam satu lagi insiden membabitkan pesawat sebelum ini.

Allahyarham Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, dilaporkan tersangkut pada sebatang pokok selama beberapa hari apabila pesawat dinaiki mengalami masalah enjin namun berjaya dikawal semasa menjalani latihan pada 2004.

Menurut ibu saudara Allahyarham yang berusia lingkungan 50-an serta enggan dikenali, kejadian itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat Fajim Juffa dalam bidang penerbangan.

“Arwah tidak pernah memberitahu dia takut atau mahu berhenti daripada bidang ini kerana memang mempunyai minat yang amat mendalam,” katanya kepada pemberita di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun malam tadi.

Beliau berkata Arwah bapa Fajim Juffa turut mengalami nasib sama kerana terkorban dalam insiden membabitkan pesawat pada sekitar tahun 1989.

Tinjauan Bernama mendapati suasana pilu menyelubungi pekarangan Jabatan Forensik itu terutama apabila isteri dan anak-anak perempuan Arwah tiba dari Selangor pada kira-kira 1.20 pagi.

Ibu saudara arwah juga berkata mereka tidak sanggup memberitahu kesemua anak perempuan dan isteri Fajim Juffa bahawa beliau telah terkorban sehinggalah mereka tiba di sini bagi mengelakkan perkara tidak diingini menimpa keluarga itu ketika dalam perjalanan.

“Saya rapat dengan arwah dan beliau merupakan seorang yang ceria serta selalu membawa keluarga datang ziarah ke rumah saya,” katanya.

Dalam insiden pada kira-kira 8 malam itu, Fajim Juffa yang berasal dari Semenyih, Selangor terkorban manakala seorang lagi jurulatih penerbangan iaitu Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur cedera.

Mereka dilaporkan bertolak dari sekolah latihan kapal terbang yang terletak berhampiran sebelum kejadian.

-BERNAMA

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan