POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan masyarakat supaya tidak menularkan atau berkongsi sebarang video berkenaan nahas pesawat udara yang berlaku di Bandar Elmina, Khamis lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sekiranya masih ada yang ingkar, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Beliau berkata, sepatutnya pada waktu ini masyarakat menghormati privasi keluarga mangsa yang terlibat.
“Kita akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 233 kalau ada lagi. Saya rasa Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pun telah mengeluarkan kenyataan dan ini daripada polis. Ada lagi kita akan ambil tindakan di bawah 233.
“Jangan menyebarkan video-video ini. Kalau ada, salurkan kepada pihak polis. Itu yang saya katakan jangan buat spekulasi, biar pihak berkaitan buat siasatan. Keputusan kerajaan akan umumkan kemudian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke upacara pengebumian mangsa nahas pesawat tersebut di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Fasa 2, hari ini.
Sebuah pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) dengan nombor pendaftaran N28JV terhempas di kawasan Bandar Elmina, Shah Alam kira-kira pukul 2.50 petang pada Khamis lalu.
Pesawat tersebut dalam penerbangan dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Nahas tersebut mengorbankan kesemua lapan kru dan penumpang di dalamnya serta dua orang awam termasuk pemandu kereta dan penunggang motosikal.
Sementara itu, Ayob Khan berkata, seramai tiga individu yang terlibat dalam berkongsikan video kemalangan telah hadir secara sukarela ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam untuk memberikan keterangan.
“Kita sudah panggil tiga orang yang terlibat menularkan video ini, mungkin akan ada lagi. Kita akan tengok perlu atau tidak kita buka kertas siasatan. Dan yang ini datang secara sukarela.
“Tetapi yang akan datang, bermula hari ini kalau ada lagi, kita akan ambil tindakan di bawah 233,” tegasnya. – Edisi 9