33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Bajet 2023 tumpu kesejahteraan dan kebajikan rakyat – PM

Lebih daripada 3,000 isu dan 2,000 cadangan telah diterima daripada 242 agensi termasuk cadangan mengenai percukaian.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN akan memastikan Bajet 2023 menumpukan kesejahteraan dan kebajikan rakyat segenap lapisan masyarakat dengan mengambil kira cabaran yang bakal dihadapi tahun hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara tumpuan utama dalam Bajet 2023 adalah untuk memastikan pemulihan pasca Covid-19 yang turut mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat serta kelangsungan perniagaan.

Menurut beliau, dalam menghadapi ketidaktentuan global, Bajet 2023 turut memberi tumpuan kepada golongan rakyat yang memerlukan bantuan dengan menambahbaik sistem perlindungan sosial serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat melalui perkhidmatan kesihatan dan pendidikan berkualiti.

“Kerajaan turut memberi tumpuan kepada persekitaran hidup yang selamat dan selesa dengan menitikberatkan pembangunan yang inklusif dan mampan.

“Ia bertujuan agar semua ahli Keluarga Malaysia dapat menikmati manfaat pembangunan negara pada masa kini dan hadapan tanpa mengira komuniti atau tempat tinggal,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena majlis penutupan Konsultasi Bajet 2023 di Kementerian Kewangan, di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir di majlis Konsultasi Bajet 2023 ini dengan penyertaan yang aktif serta sumbangan idea yang bernas, kreatif dan menarik.

Menurutnya, majlis berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan untuk melibatkan semua pihak berkepentingan dalam proses penyediaan bajet untuk rakyat demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Perbincangan hari ini adalah merupakan titik permulaan kepada sesi libat urus yang lebih komprehensif untuk memperhalusi input Bajet 2023.

“Saya difahamkan sebanyak lebih daripada 3,000 isu dan 2,000 cadangan telah diterima daripada 242 agensi termasuk cadangan mengenai percukaian.

Menurut beliau, isu dan cabaran yang dibangkitkan serta kaedah penyelesaian yang dicadangkan untuk menanganinya akan diperhalusi dan diteliti sewajarnya.

Selain itu, Perdana Menteri menyatakan, ekonomi negara menunjukkan pemulihan kukuh pada separuh pertama 2022 yang berkembang sebanyak 6.9 peratus ekoran langkah Kerajaan melaksanakan Fasa Peralihan ke Endemik, pembukaan sepenuhnya ekonomi dan sempadan serta didokong dasar fiskal mengembang melalui Bajet 2022.

“Saya yakin momentum pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19 akan berterusan sehingga penghujung tahun 2022 dan dengan itu, unjuran pertumbuhan tahun 2022 di antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus dapat dicapai.

“Momentum pemulihan ekonomi bukan sekadar pertumbuhan KDNK tetapi pemulihan pasaran tenaga kerja juga jelas dicapai berdasarkan kepada penurunan kadar pengangguran daripada 5.3 peratus yang tertinggi pada Mei 2020 kepada 3.8 peratus pada bulan Jun 2022, antaranya hasil daripada inisiatif JaminKerja dengan peruntukan melebihi RM4 bilion dalam Bajet 2022.

Menurut beliau, keyakinan kepada ekonomi negara juga jelas dalam kalangan pelabur antarabangsa. Untuk separuh pertama 2022, pelaburan langsung asing (FDI) mencatat aliran masuk bersih lebih tinggi bernilai RM41.7 bilion berbanding sebelum pandemik iaitu RM23.3 bilion pada tempoh yang sama tahun 2019.

“Meskipun pertumbuhan ekonomi negara untuk tahun 2022 berada pada trajektori pemulihan yang memberangsangkan, namun harus diingat, kita masih lagi berdepan dengan prospek ekonomi global yang semakin mencabar untuk tahun 2023 berikutan konflik Rusia- Ukraine yang berterusan, gangguan rantaian bekalan makanan global serta tindakan bank-bank pusat dunia yang memperketatkan dasar monetari.

Ujar Ismail Sabri lagi, senario ekonomi global semakin mencabar dan tinjauan ekonomi bagi tahun 2023 kurang memberangsangkan.

“Pihak IMF telah menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi global untuk tahun 2023 dari 3.8 peratus semasa tinjauannya pada Januari 2022 kepada 2.9 peratus pada Julai 2022.

“Sebagai sebuah ekonomi yang terbuka, kita tidak terkecuali daripada perkembangan global. Gangguan rantaian bekalan dunia telah meningkatkan harga komoditi dan makanan dengan mendadak.

Menurutnya, pada bulan Jun 2022, kadar inflasi di negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom melebihi 9 peratus sementara negara serantau seperti Thailand, Singapura dan Filipina melebihi 6 peratus.

“Demi kesejahteraan rakyat, Kerajaan telah melaksanakan langkah mengawal harga barangan serta menambahbaik bantuan dan subsidi barangan asas. Hasil daripada tindakan Kerajaan, kadar inflasi untuk separuh tahun pertama 2022 kekal pada tahap terkawal 2.5 peratus.

“Tindakan Kerajaan tersebut telah meningkatkan perbelanjaan bantuan dan subsidi kepada RM77.7 bilion berbanding peruntukan Bajet 2022 sebanyak RM31 bilion. Tanpa bantuan dan subsidi Kerajaan, dianggarkan kadar inflasi negara akan mencecah sebanyak 11.4 peratus,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Keputusan peperiksaan STAM 2023 diumum 26 Mac ini – KPM

KEPUTUSAN Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2023 akan dikeluarkan pada hari Selasa, 26 Mac ini. Kementerian Pendidikan...

Lagi Artikel Berkaitan