28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

PMU Yong Peng punca bekalan elektrik terputus

TNB hilang beban tenaga sebanyak 2.2 gigawat (GW) atau bersamaan 10 peratus daripada keseluruhan permintaan elektrik di Semenanjung.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEROSAKAN yang berlaku di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng Utara di Yong Peng, Johor menjadi punca berlaku gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan di seluruh negara hari ini.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi satu kenyataan berkata, gangguan bekalan itu bermula pada jam 12.39 petang yang mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2 gigawat (GW).

Kejadian itu, katanya, menyebabkan 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia mengalami gangguan.

“TNB telah berjaya memulihkan sepenuhnya bekalan elektrik kepada semua kawasan yang mengalami gangguan elektrik pada pukul 3.02 petang.

“Kebanyakan kawasan terjejas berjaya dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit gangguan berlaku hasil usaha berterusan Pasukan Teknikal TNB,” kata kenyataan itu.

Akibat kejadian tersebut, beberapa bandar termasuk Lembah Klang mengalami gangguan menyebabkan keadaan sedikit kelam-kabut namun terkawal.

Antara kawasan yang terjejas ialah di pusat bandar raya Kuala Lumpur, Bangsar, Bukit Jalil, Mont Kiara dan Subang Jaya selain di beberapa kawasan di Pahang, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah dan Johor.

Di SELANGOR, pasukan bomba menerima sebanyak 11 laporan berhubung insiden terperangkap di dalam lif susulan gangguan bekalan elektrik yang melanda beberapa negeri.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis dilaporkan berkata, pihak bomba menerima insiden terperangkap dalam lif sekitar pukul 12.50 tengah hari hingga 1.47 petang membabitkan beberapa kawasan perumahan bertingkat dan pasar raya di negeri ini.

“Antara mangsa yang dilaporkan adalah seorang lelaki obesiti yang berusia 68 tahun dan wanita berusia 57 tahun yang mengalami masalah kesihatan.

Advertisements

“Kita bantu mereka untuk turun dari tingkat lima sebuah klinik ekoran ketiadaan bekalan elektrik menyebabkan lif tidak berfungsi,” ujarnya hari ini.

Menurutnya, panggilan kecemasan yang diterima termasuk di Jaya One dan Centre Stage, Seksyen 13, Petaling Jaya; Kondo Liberty, Ampang; Flat Taman Sri Sentosa; Taman Industri Kidamai, Kajang; Bangunan Miec, Serdang; Icon City, Subang; dan Green Resident.

Masalah tersebut juga memberi kesan kepada operasi pelbagai premis termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kedai makan dan juga proses pembelajaran di institusi pendidikan.

Di KUALA LUMPUR, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengarahkan Petugas Warden Trafik untuk mengawal dan mengawasi trafik di jalan-jalan utama susulan lampu isyarat tidak berfungsi.

Walaupun begitu, keadaan masih terkawal dalam tempoh kira-kira tiga jam sebelum bekalan elektrik pulih sepenuhnya.

Sementara itu, nama Yong Peng menjadi trending (sebutan) hari ini berikutan kejadian kerosakan pada PMU yang sempat dirakam oleh orang awam, dan tular menerusi media sosial.

Ekoran itu, Facebook Persatuan Bangsa Johor dalam nada sinis berkata: “Kena jaga Yong Peng elok-elok. Baru kejap je Yong Peng buat hal. Nyaris seluruh semenanjung bergelap lagi.”

Kejadian bekalan elektrik terputus dipercayai paling buruk di Semenanjung sejak kali terakhir berlaku pada 3 Ogos 1996 yang menyebabkan seluruh negara hampir lumpuh.

Gangguan itu menyebabkan semua stesen janakuasa di Semenanjung Malaysia tidak berfungsi.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Sekat penceramah asing pro-Zionis demi keselamatan negara – Zambry

SEKATAN terhadap penceramah asing pro-Zionis perlu dilihat dari aspek keselamatan dan imej negara yang boleh terjejas akibat kenyataan mereka. Justeru,...

Lagi Artikel Berkaitan