ANGKATAN Seni Foto Nasional (ASFON) agak kesal apabila peranan jurufoto masih belum mendapat pengiktirafan oleh kerajaan walaupun jasa mereka memperkenalkan Malaysia di mata dunia begitu besar.
Presiden ASFON Wilayah Persekutuan, Shamsul Kamal Zakaria berkata, pengiktirafan itu penting bagi memartabatkan jurufoto yang selama ini banyak menyumbang kepada industri pelancongan negara.
“Lensa jurufoto ini amat unik. (Malaysia) Dikenali kerana foto yang dirakam boleh mencipta kejutan di mata dunia terutama tempat-tempat menarik dan gaya hidup sosio budaya di Malaysia.
“Sehingga kini masih belum ada pengiktirafan khusus kepada jurufoto yang merakam keindahan yang digambarkan atau diceritakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi Wajah-Wajah Malaysia (WWM) 2022 dan Pelancaran Buku Gambar Imejan Beremosi sempena Pameran Fotografi WWM di Galeri Budi, Wisma Budi, Kuala Lumpur hari ini.
Mengambil contoh Steve McCurry, Shamsul Kamal berkata, jurufoto bebas Amerika itu mendapat pelbagai pengiktirafan selepas karya fotonya Afghan Girl terkenal di seluruh dunia.

Katanya, gambar yang memaparkan wajah seorang gadis Afganistan bermata biru itu menjadikannya terkenal di seluruh pelosok dunia dan sehingga kini orang masih bercakap mengenainya.
“Di Malaysia kita ada jurufoto bebas, Mohd Nazri Sulaiman yang merakamkan wajah seorang budak lelaki, Mohd Syukur Khamis bersama kerbaunya di Terengganu yang kemudian dikenali dengan Mowgli Malaysia.
“Gambar itu memenangi anugerah Street/People Photographer of The Year Asian Geographic -Image of Asia 2018 dan Remarkable Award di Siena International Photography Award 2018 di Itali.
“Tetapi karya itu tidak mendapat sebarang pengiktirafan di negara sendiri,” katanya dalam nada kesal.
Mengenai Pameran Fotografi WWM 2022, Shamsul Kamal berkata, sebanyak 30 karya yang dipamerkan berkonsepkan wajah-wajah masyarakat negara ini merangkumi aspek budaya, tempat dan kehidupan mereka.
Pertandingan dan pameran yang berakhir semalam itu dianjurkan bersama Persatuan Alumni Fotografi UiTM Malaysia (FOKUS) dan Yayasan Budi.
Sebanyak 900 keping gambar diterima membabitkan 186 peserta dan diadili oleh jurufoto profesional serta ahli akedemik diketuai oleh Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim selaku Penaung ASFON WP.
Hadiah-hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh bekas Dekan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Shah Alam, Prof. Dr. Mustaffa Halabi.
ENDS