24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Tunjukkan kepada dunia semangat juang Harimau Malaya

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menuntut kontinjen negara ke Sukan Komanwel Birmingham agar menunjukkan kepada dunia semangat perjuangan Harimau Malaya yang sebenar-benarnya.

Beliau yakin atlet-atlet yang memikul cabaran negara di temasya itu akan memberikan yang terbaik dan memperlihatkan aksi maksimum apabila menyarung jersi Harimau Malaysia nanti.

Perdana Menteri turut yakin, kontinjen negara mampu mencapai sasaran pingat yang lebih tinggi berbanding tujuh emas yang dimenangi semasa di Gold Coast pada 2018 lalu.

“Kalah menang sebenarnya adat pertandingan tetapi tunjukkanlah kepada dunia semangat perjuangan anak-anak Malaysia. Semangat Harimau Malaya yang sebenar-benarnya.

“Saya menaruh keyakinan yang amat tinggi bahawa sasaran pingat negara dapat boleh dicapai menandingi bilangan tujuh emas yang pernah dimenangi oleh jaguh-jaguh kita semasa Sukan Komanwel 2018 Gold Coast, Australia,” kata beliau.

Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Ke-22 di Kuala Lumpur hari ini.

Advertisements

Sukan Komanwel Ke-22 di Birmingham, England akan berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Malaysia membawa seramai 150 orang ke temasya tersebut meliputi 106 atlet dan 44 pegawai yang akan menyertai 15 acara.

Perdana Menteri berkata, para atlet perlu berpegang pada pepatah genggam bara api biar sampai jadi arang bagi menunjukkan bahawa Keluarga Malaysia perlu memiliki keazaman untuk meraih kejayaan
dalam apa juga yang dilakukan.

“Begitulah juga dengan bakal-bakal jaguh sukan negara yang saya percaya mampu meraih kejayaan kerana memiliki semangat juang yang jitu, berbekalkan latihan mencukupi dengan menggunakan peralatan sukan yang sesuai dan terkini,” kata beliau.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan sentiasa memberi perhatian serius terhadap pembangunan sukan kerana ia mampu menyemarakkan semangat patriotisme dan menyatukan Keluarga Malaysia berbilang kaum dan agama.

Justeru, beliau berharap Keluarga Malaysia dapat menjadikan sukan sebagai jambatan dan instrumen untuk bersatu-padu serta menjadikan Malaysia kekal aman dan damai. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan