LEMBAGA Tabung Haji (Tabung Haji) menafikan kewujudan kartel dalam soal pemilihan agensi pelancongan sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH).
Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, mana-mana syarikat pelancongan boleh memohon untuk menjadi PJH yang berlesen dan akan dipilih secara tahunan setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Katanya, untuk memohon lesen PJH, syarikat pelancongan tempatan dikehendaki memenuhi antara syarat-syarat seperti berikut pengalaman mengendalikan umrah tiga tahun berturut-turut dan ada rekod Bank Negara Malaysia melalui Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) yang mengandungi maklumat seperti kewangan Pengarah Syarikat, Pemegang Saham Syarikat dan mana-mana individu dalam Pengurusan Syarikat.
“Selain itu, pengurusan dan kakitangan yang berpengalaman dan mempunyai laporan juruaudit yang bersih untuk dua tahun terkini. Seterusnya, laporan Kewangan Syarikat yang telah diaudit untuk tiga tahun terakhir dan modal berbayar sekurang-kurangnya RM500,000.
“Turut diletakkan syarat dana pemegang saham yang positif, carian rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia yang menyatakan syarikat dan individu bukanlah bankrap, lulus penilaian umrah oleh Pejabat Tabung Haji di Arab Saudi dan tiada kes mahkamah semasa.
“Oleh itu, dakwaan ‘kartel’ adalah sama sekali tidak benar dan tidak berasas. Mana-mana syarikat boleh memohon untuk menjadi PJH berlesen dibawah TH dan dipilih apabila memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Utusan.
Semalam, Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) menggesa supaya amalan ‘Kartel TH’ dalam soal pemilihan agensi pelancongan untuk menjadi PJH dapat dihapuskan.