28.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, December 3, 2022

Sejuta umat Islam sedia berwukuf di Arafah esok

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

HAMPIR semua jemaah dari seluruh dunia telah berada di Tanah Suci Mekah bagi melakukan ibadah haji dengan bersiap sedia untuk berwukuf di Arafah esok.

Kemuncak ibadah haji itu merupakan waktu bagi jemaah haji melaksanakan wukuf di Arafah, bermula dari terbenamnya matahari (waktu zuhur) pada tanggal 9 Zulhijjah sehingga terbitnya fajar pada 10 Zulhijah.

Tahun ini merupakan musim haji terbesar sejak pandemik koronavirus menyerang seluruh dunia, dua tahun lalu.

Seramai sejuta umat Islam yang telah menerima vaksinasi penuh, termasuk 850,000 jemaah luar negara telah dibenarkan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini.

Di Masjidil Haram, ia telah dipenuhi dengan para jemaah yang bersiap sedia untuk melakukan ibadah tawaf di sekeliling Kaabah.

Jemaah lelaki dan wanita yang memakai ihram serta jubah dilihat berjalan berhampiran Kaabah, dengan ada antaranya yang memakai dan tidak memakai pelitup muka.

Baca juga:   TMC LLM, 25 pusat kawalan trafik pantau perjalanan lebuh raya

“Semalam merupakan kali pertama saya melihat Kaabah di hadapan mata saya sendiri.

“Saya telah lama mengimpikan untuk datang ke sini. Akhirnya, saya tiba juga di Tanah Suci Mekah,” kata seorang jemaah wanita dari Rusia, Halima, 30.

Pada 2019, kira-kira 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia mengerjakan ibadah haji sebelum Covid-19 melanda dunia dan menyebabkan kerajaan Arab Saudi menyekat dan mengehadkan kemasukan jemaah luar negara.

Hanya seramai 60,000 jemaah yang menerima vaksinasi penuh dan rakyat Arab Saudi mengerjakan ibadah itu pada 2021, meningkat daripada hanya 10,000 pada 2020.

Baca juga:   TMC LLM, 25 pusat kawalan trafik pantau perjalanan lebuh raya

Tahun ini, peluang mengerjakan haji dibuka kepada umat Islam seluruh dunia yang berumur di bawah 65 tahun serta menerima vaksinasi lengkap.

Jemaah dari luar negara turut diminta menyerahkan keputusan negatif bagi ujian tindak balas rantaian polimerase balikan (PCR) Covid-19 yang dilakukan dalam masa 72 jam sebelum berlepas.

Di Masjidil Haram, pasukan perubatan wanita telah bersiap sedia di beberapa lokasi selain anggota sukarelawan turut membawa kerusi roda untuk membantu jemaah yang kurang berkemampuan.

Beberapa kemudahan kesihatan, klinik mudah alih dan ambulans turut disediakan pihak berkuasa untuk kemudahan jemaah. – AFP

Wartawan

Terkini

Sepasang suami isteri bawa dadah lebih RM9.5 juta ditahan

SEPASANG suami isteri berusia 26 dan 28 tahun ditahan bersama dadah jenis syabu bernilai lebih RM9.5 juta di Kampung...

Lagi Artikel Berkaitan