34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Proses ibadah haji berjalan lancar, jemaah puas hati

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

HAMPIR sejuta jemaah haji bergerak ke Masjidil Haram untuk menunaikan tawaf Al-Ifadha, awal pagi kelmarin, sekali gus menandakan sambutan Aidiladha di Tanah Suci Mekah, lapor akhbar Arab News.

Sebelum itu, para jemaah menunaikan ibadah melontar jamrah, mengorbankan haiwan dan mencukur kepala.

Jemaah melontar batu di Jamarah Al-Sughra, Jamarah Al-Wusta dan Jamarah Al-Kubra atau Jamarah Al-Aqaba sebagai melambangkan peristiwa Nabi Ibrahim melontar batu ke arah iblis.

Sejurus selepas itu, mereka kembali ke lokasi penginapan untuk mencukur kepala serta melakukan ibadah korban.

Seorang jemaah dari Pakistan, Nussarat, memaklumkan berasa bertuah kerana berpeluang melontar jamrah bersama suaminya.

“Hari ini, kita menyambut Aidiladha dan kami berjalan ke Mina sehingga tiba di Jamarah Al-Aqaba, di mana kami melontar batu pada dinding.

“Ibadah ini amat teratur dan tidak ada sesiapa pun yang saling menolak, menjadikannya amat mudah dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi jemaah dari Algeria, Ezz Al-Deen yang menunaikan haji bersama anak perempuannya berkata, dia berasa kagum melihat kelancaran proses ibadah haji serta melontar jamrah yang dilakukan dalam masa kurang dari dua minit.

“Saya berpendapat bahawa bilangan jemaah haji tahun ini tidak terlalu ramai, jadi setiap ibadah berjalan dengan amat lancar dan semua orang memberikan kerjasama yang baik,” ujarnya.

Pihak berkuasa haji, termasuk perkhidmatan kecemasan daripada Presidensi Keselamatan Negara, petugas kesihatan, anggota pertahanan awam serta pasukan Persatuan Bulan Sabit Merah Arab Saudi melaksanakan tugas masing-masing dengan baik bagi kemudahan para jemaah.

Pegawai-pegawai, anggota sukarelawan daripada pelbagai agensi kerajaan turut sentiasa bersiap sedia bagi menjalankan tanggungjawab mereka.

Bagi perkhidmatan keselamatan pula, anggota terlibat bekerja keras untuk memastikan kesesakan dapat dikurangkan ke tahap minimum, selain berjaya mengawal kira-kira 899,353 jemaah tahun ini, demikian menurut Pihak Berkuasa Am bagi Statistik.

Selain itu, pergerakan jemaah ke Jambatan Jamarat dan kawasan sekitar dilaporkan lancar dan selamat, di mana para jemaah bergerak dalam kumpulan ke kawasan melontar.

Jurucakap Kementerian Haji dan Umrah, Hisham Saeed dalam sesi sidang akhbat pada Jumaat lalu berkata, semua pelan bagi ibadah haji telah diselaraskan dengan semua pihak berkuasa berkaitan.

Kementerian berkenaan turut menyusun jadual dengan tempoh masa spesifik bagi memastikan pergerakan jemaah berjalan lancar. Ia dilakukan menerusi beberapa tahap, bermula dari Tarwiyah di Mina, seterusnya ke Arafah dan Muzdalifah, sebelum kembali ke Mina untuk melontar selain pelaksanaan beberapa perkhidmatan haji yang lain. – AGENSI

Terkini

Lebih 27,000 kandungan diturunkan sejak awal tahun – MCMC

SEBANYAK 27,115 kandungan bersifat provokatif melampau dalam media sosial dan platform Over The Top (OTT) telah diturunkan dalam tempoh...

Lagi Artikel Berkaitan