24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

JKM selamatkan dua beranak terbiar hidup dengan ayam, itik

JKM Perak kini sedang giat mengesan waris dua beranak berkenaan untuk tindakan susulan termasuk bagi menempatkan mereka di rumah jagaan.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

HANYA mengharapkan ihsan jiran, dua beranak terbiar dengan tidur bertemankan ayam dan itik yang ‘menumpang’ di rumah serba daif mereka di Batu 8, Chemor, Ulu Kinta, Perak diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dua beranak itu iaitu wanita warga emas dikenali sebagai Nooriah, 82, terlantar sakit berikutan usia tuanya, manakala anaknya dikenali sebagai Noor Fadillah, 51, adalah orang kurang upaya (OKU) berkaitan mental.

Keadaan itu menyebabkan kehidupan dua beranak terbabit bukan saja bergelumang najis uggas itu, malah rumah didiami mereka turut dilumuri kotoran manusia.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin, dua beranak itu kini menerima rawatan di hospital sementara waktu.

Selain JKM, tindakan menyelamat dua beranak itu dilakukan dengan kerjasama Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Menurutnya, susulan itu JKM Perak kini sedang giat mengesan waris dua beranak berkenaan untuk tindakan susulan termasuk bagi menempatkan mereka di rumah jagaan.

“Sekarang dua beranak itu berada di hospital untuk rawatan dan selepas ini, JKM akan ambil tindakan seterusnya untuk bantu mereka iaitu menempatkan ibu itu di rumah desa kasih iaitu di bawah kaedah sakit melarat, manakala anaknya di desa bina diri di bawah kaedah orang papa.

Advertisements

“Ia disebabkan mereka tidak lagi selamat untuk tinggal di rumah sekarang, selain kedua-duanya tidak mampu menguruskan diri sendiri. Mereka memang perlu ditempatkan di lokasi lain kerana makan minum mereka selama ini atas ihsan pemberian jiran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan kepada 20 peserta Program Pemerkasaan Ekonomi (PRE Perak Sejahtera tahun 2022) bagi Biznita, Bizman, dan M2 Yong di Dewan Serbaguna Sekretariat Usahawan Negeri Perak, Meru Raya, hari ini.

Wan Norashikin berkata, warga emas itu adalah pesara kerajaan dengan wang pencen RM600 sebulan, manakala anaknya penerima bantuan OKU JKM yang menerima RM300 sebulan sebelum ini.

Sementara itu, sempena program berkenaan, seramai 700 usahawan kecil di negeri ini menerima manfaat menerusi tiga program diperkenalkan kerajaan negeri khusus kepada usahawan kecil untuk tahun ini sebagai inisiatif membantu mereka menangani isu beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menurutnya, jumlah itu meningkat susulan pengenalan dua program baharu bagi tahun ini iaitu BizMan dan M2 Yong (Mentor Mentee Yong) membabitkan peruntukan RM1.1 juta di bawah PRE Perak Sejahtera 2022.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan