28.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Latih Amal Keselamatan Menyeluruh dilaksana segera – PM

MKN harus memulakan suatu kerangka pelaksanaan Latih Amal Keselamatan Menyeluruh untuk diuji di peringkat awal sebelum diperkemaskan secara berterusan.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan sudah tiba masanya Majlis Keselamatan Negara (MKN) melaksanakan inisiatif Latih Amal Keselamatan Menyeluruh pada kadar segera.

Beliau berkata, Latih Amal Keselamatan Menyeluruh berkenaan membolehkan tahap kesiapsiagaan dipertingkat, untuk Malaysia menghadapi sebarang potensi situasi krisis pada masa hadapan.

Menurut beliau, latih amal tersebut perlu melibatkan kementerian dan agensi Kerajaan persekutuan dengan kerjasama Kerajaan negeri serta penglibatan pihak swasta.

“Malah, perlu diintegrasikan aspek sukarelawan dan badan-badan bukan Kerajaan khususnya melibatkan pelbagai segmen komuniti.

“Setiap agensi Kerajaan harus bersedia melalui mekanisme sedia ada untuk memulakan perancangan pelaksanaan Latih Amal Keselamatan Menyeluruh ini pada kadar segera.

“Bagi tempoh tiga tahun akan datang, MKN harus memulakan suatu kerangka pelaksanaan Latih Amal Keselamatan Menyeluruh untuk diuji di peringkat awal sebelum diperkemaskan secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Perasmian Pembukaan Persidangan Keselamatan Negara 2022 dan Sambutan Bulan Keselamatan Negara 2022 di Hotel Marriot, Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai keselamatan negara, Ismail Sabri menyatakan ia bukan hanya merentas hierarki sosial dalam masyarakat, malah saling melangkau pelbagai sektor yang turut melibatkan aspek kedaulatan negara, sosial, ekonomi, politik, teknologi, tadbir urus serta hubungan antarabangsa.

Namun begitu menurut beliau, tanggungjawab memastikan Malaysia kekal berdaulat, aman dan sejahtera bukan terletak di bahu pasukan keselamatan dan jentera Kerajaan semata-mata tetapi turut menjadi tanggungjawab bersama seluruh Keluarga Malaysia.

“Keselamatan Negara merupakan salah satu kepentingan nasional yang perlu difahami dan diselami oleh seluruh Keluarga Malaysia.

“Sehubungan itu, MKN telah membangunkan Dasar Keselamatan Negara (DKN) yang strategik dan komprehensif bagi mendepani unjuran pelbagai potensi isu, cabaran dan ancaman.

Sementara itu ujar Ismail Sabri lagi, komuniti juga harus bersedia menjadi mata dan telinga agensi keselamatan, dalam usaha mencegah sebarang bentuk ancaman kepada keselamatan negara.

“Bagi mengiktiraf sumbangan dan peranan ahli komuniti, Kerajaan memutuskan untuk memperkenalkan konsep Pengurusan Keselamatan Berasaskan Komuniti (CBSM).

Dalam pada itu, beliau meluahkan kepercayaannya terhadap Persidangan Keselamatan Negara yang julung-julung kali diadakan bersempena Bulan Keselamatan Negara bakal menjadi wadah pemula untuk memacu usaha-usaha memelihara kepentingan negara.

“Janganlah kita sesekali lalai dan leka daripada mempertahankannya dan seterusnya mewariskan kepada generasi akan datang dengan berdaulat, aman dan sejahtera,” katanya.

-EDISI9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan