26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Kerajaan negeri diminta segera warta tanah lapang awam – PM

Kerajaan menetapkan sasaran sebanyak dua hektar tanah lapang untuk 1,000 penduduk bandar.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN negeri diminta mempercepatkan proses mewartakan kawasan tanah lapang awam (TLA) di kawasan masing-masing, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, semua kerajaan negeri melalui agensi-agensi yang bertanggungjawab di bawahnya diseru untuk mengambil langkah yang lebih serius dalam menyegerakan pewartaan TLA di bawah Seksyen 62, Kanun Tanah Negara (KTN).

Menurut beliau, pewartaan TLA berkenaan akan memastikan ia kekal terpelihara dan berfungsi sebagai kawasan lapang yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat untuk tujuan rekreasi dan riadah ke arah Malaysia yang lebih berdaya huni.

“Kerajaan menetapkan sasaran sebanyak dua hektar tanah lapang untuk 1,000 penduduk bandar. Jumlah keseluruhan tanah lapang awam di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan ialah 23,433 hektar.

“Bagaimanapun hanya 33 peratus atau 7,662.6 hektar daripadanya telah diwartakan, 24 peratus (5,738.4 hektar) dalam proses pewartaan manakala selebihnya belum diwartakan,” katanya.

Perdana Menteri menyatakan demikian dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-40 di Parlimen, hari ini.

Mesyuarat berkenaan bersetuju meluluskan satu dasar utama berkaitan perancangan bandar dan desa iaitu Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (PIRECFS) untuk dijadikan sebagai panduan perancangan serta pembangunan fizikal dan hutan bagi seluruh Semenanjung Malaysia.

Ismail Sabri berkata, PIRECFS merupakan satu inisiatif untuk menghubungkan lapan kompleks hutan utama negara yang melibatkan lapan negeri iaitu Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Ia bagi memelihara kawasan-kawasan hutan di Semenanjung Malaysia agar wujud satu rangkaian fizikal hutan yang bersambungan di seluruh kawasan CFS, selaras dengan visi reconnecting the forest.

“Pelan induk ini juga telah mengenal pasti 39 rangkaian ekologi bagi menghubungkan kawasan hutan atau pulau hutan yang tidak bersambungan ekoran berlakunya pemisahan dan pengasingan hutan (forest fragmentation).

Menurut beliau, ia bagi mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar dengan memastikan laluan semulajadi hidupan liar dari satu kawasan hutan ke hutan yang lain tidak terhalang dengan aktiviti pembangunan.

“Melalui pelaksanaan pelan induk ini, komitmen negara untuk mengekalkan 50 peratus kawasan litupan hutan sepertimana yang dipersetujui semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992 akan dapat direalisasikan.

“Perkara ini boleh dicapai melalui komitmen bersama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan