36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Ibu maut ditikam anak, dakwa dengar bisikan halus

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 petang itu, mangsa yang berusia 63 tahun dipercayai dibunuh oleh anak sulungnya berusia 38 tahun.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEORANG penganggur bertindak menikam ibunya sehingga mati selepas mendakwa terdengar suara halus memberitahu mangsa telah menyembah berhala di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, Melaka, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 petang itu, mangsa, Rozizah Md. Dom, 63, meninggal dunia di lokasi dengan dua kesan tikaman di leher.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, pihak polis menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 3.05 petang dan sepasukan pegawai dikejarkan ke lokasi.

“Hasil pemeriksaan di dalam sebuah bilik menjumpai mayat seorang warga emas dengan kesan tikaman di bahagian kiri serta kanan leher dipercayai dilakukan oleh anak sulungnya sendiri.

“Kita berjaya menangkap suspek yang berada di lokasi dan hasil soal siasat dia mengaku telah menikam ibunya menggunakan pisau pemotong sayur.

“Katanya sebelum kejadian dia terdengar bisikan halus memberitahu warga emas itu menyembah berhala,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Tambah beliau lahj, mangsa yang tinggal bersama suspek dan seorang lagi anak perempuannya berusia 30-an telah diserang ketika baru sahaja selesai mandi.

“Senjata yang dipercayai digunakan suspek turut dijumpai di bahagian belakang rumah.

“Selepas menikam ibunya, difahamkan mangsa masih bernyawa dan suspek telah menyerahkan pisau itu kepadanya, namun wanita itu mencampakkannya ke luar tingkap bilik.

“Kita telah menjumpai senjata tersebut yang sepanjang 26 sentimeter,” katanya.

Zainol berkata, hasil semakan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau membabitkan kesalahan dadah dan sejarah rawatan psikiatri di Hospital Melaka.

“Kita masih melakukan siasatan sama ada suspek di bawah pengaruh dadah atau tidak ketika melakukan perbuatan itu.

“Untuk makluman suami mangsa baharu sahaja meninggal dunia pada bulan lalu, manakala suspek merupakan seorang duda,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 

Sementara itu, menurut saksi, Jamaliah Md. Jamil, 35, ketika kejadian dia sedang duduk di hadapan kedainya yang terletak kira-kira 10 meter dari rumah mangsa sebelum terdengar anak jirannya menjerit meminta tolong dengan keadaan baju berlumuran darah.

Katanya, dia yang terkejut kemudian berlari ke arah kediaman itu dan meminta salah seorang penduduk kampung memanjat masuk ke dalam pekarangan rumah berkenaan.

“Selepas dapat masuk, lelaki itu balingkan kunci pagar rumah dan saya terus masuk ke pekarangan bersama beberapa penduduk yang lain.

“Saya tak berani masuk rumah tengok mangsa, tetapi mereka yang lain beritahu jiran saya itu telah meninggal dunia dibunuh anak sulungnya dengan kesan tikaman di leher,” katanya seperti dilaporkan Kosmo! , hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, suspek yang masih berada di lokasi kemudian ditangkap oleh empat penduduk kampung sebelum diserahkan kepada pihak polis.

“Kami telah tangkap anak sulungnya. Dia tak melawan pun dan hanya duduk seperti orang bodoh sampailah polis sampai.

“Kami tak tahulah dia sedang berkhayal atau tidak tetapi penduduk kampung memang tahu dia ada ambil barang (dadah),” katanya.

Ujarnya, anak perempuan mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Malaysia Negeri Johor menyerbu sebuah pusat hiburan di Taman Mount Austin, Johor Bahru awal pagi ini dan...

Lagi Artikel Berkaitan