29.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Terokai automasi, kurang bergantung buruh asing – Zuraida

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PEMILIK-pemilik ladang kelapa sawit di seluruh negara disaran meningkatkan penggunaan alatan automasi dan melihat prospek pekerja dengan lebih meluas seperti di India dan Pakistan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ia bagi mencari penyelesaian jangka panjang dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan buruh dari Indonesia dan Bangladesh.

“Menerusi kajian dan penyelidikan teknologi dilakukan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), pemilik-pemilik ladang disaran meningkatkan penggunaan automasi seperti dron untuk tujuan pengawasan dan kawalan serangga perosak.

“KPPK yakin, penggunaan automasi di peringkat ladang akan menarik minat pekerja tempatan untuk mula bekerja di sektor ini.

“Penggunaan teknologi automasi juga diyakini dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing dan menjadikan industri sawit negara lebih berdaya tahan untuk tempoh jangka masa panjang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro AWANI.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, KPPK menggalakkan pemilik kebun untuk mula membuat pelaburan bagi mendapatkan alat teknologi.

“KPPK juga percaya pembabitan lebih besar dalam automasi boleh membantu meletakkan minyak sawit sebagai minyak masak pilihan utama di peringkat global, sejajar dengan kempen “Minyak Sawit Malaysia Penuh Kebaikan” yang sedang dijalankan.

Kata Zuraida lagi, KPKK sedar kekurangan pekerja ini akan menyebabkan industri sawit mengalami penurunan pendapatan sebanyak 5 peratus hingga 10 peratus, seperti diramalkan Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA).

“Semua pihak perlu menyedari bahawa antara sebab-sebab utama masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan ini adalah langkah penutupan pintu sempadan antarabangsa bagi membendung penularan wabak COVID-19 di dalam negara,” jelasnya.

Tambah beliau, ketika ini, kementeriannya terus berganding bahu bersama-sama dengan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Luar Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi dengan kadar segera.

“Kerajaan Persekutuan menerusi keputusan pada September 2021 bersetuju meluluskan rancangan membawa masuk sejumlah 32,000 pekerja asing untuk bekerja di ladang kelapa sawit di seluruh negara.

“KPPK yakin sasaran ini akan dicapai dan isu berkaitan permit telah dibawa ke perhatian kementerian,” ujarnya.

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan