30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Terapkan konsep Tasamuh bagi satukan umat dan dunia – PM

Konsep Tasamuh yang mengutamakan nilai kebersamaan, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, konsep Tasamuh iaitu toleransi atau berlapang dada seharusnya diterapkan dalam kalangan negara yang mempunyai bangsa dan budaya yang majmuk.

Menurut Perdana Menteri, ini kerana konsep tersebut mampu menjadi alat bagi penyatupaduan umat Islam serta dunia.

Beliau berkata, Tasamuh yang mengutamakan nilai kebersamaan, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang mampu menjadikan masyarakat di negara ini menghargai dan memahami nilai perbezaan.

“Konsep ini yang turut bermakna bersikap menerima dan damai terhadap sebarang keadaan yang dihadapi, telah ditekankan oleh kerajaan supaya menjadi sebahagian daripada amalan kehidupan Keluarga Malaysia yang berbilang kaum dan agama,” kata beliau.

Ismail Sabri berkata demikian semasa berucap merasmikan Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 di Subang Jaya, Selangor, hari ini. Turut hadir, Setiausaha Agung Liga Dunia Islam, Syeikh Dr Muhammad Abdul Karim Al-Issa.

Perdana Menteri berkata perpaduan dan kesatuan ummah perlu menjadi keutamaan umat Islam, sepertimana dianjurkan oleh prinsip Fiqh Keutamaan (fiqh awlawiyyat).

Tegas beliau, ini berikutan meningkatnya ancaman terhadap kesucian Islam kebelakangan ini.

“Pengukuhan perpaduan dan kesatuan ummah hendaklah berasaskan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan dakwah dan penyampaian ajaran Islam bertepatan dengan kehendak Islam, bersifat wasatiyah dan memberi rahmat kepada sekalian alam.

“Umat Islam perlu disedarkan bahawa usaha merealisasikan perpaduan ini perlu merentasi tembok pelbagai aliran pemikiran dan ideologi. Tumpuan utama adalah kemaslahatan ummah serta menolak fahaman pelampau dan ekstrem,” kata beliau.

Sehubungan itu, jelasnya, semua ulama dan ilmuwan Islam perlu berbincang, bermuafakat, bersatu dan menggembleng pemikiran masing-masing, bagi menghasilkan penyelesaian kepada cabaran dihadapi umat Islam seluruh dunia.

Perdana Menteri turut berharap konsep Keluarga Malaysia dapat disempurnakan oleh para ulama dan ilmuwan Islam dengan memberi pendekatan erti kata kesatuan berlandaskan Islam.

Kata beliau, kerajaan sedar ulama dan ilmuwan Islam memainkan peranan yang penting bagi memastikan landasan yang dipilih bertepatan dengan jalan yang lurus iaitu siratulmustakim.

“Justeru kita sentiasa mengalu-alukan pandangan dan nasihat ulama serta ilmuwan Islam, demi kesejahteraan Keluarga Malaysia di dunia dan di akhirat,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berharap agar perhimpunan ulama dan ilmuwan Islam kali ini dapat menghasilkan kata sepakat dan memainkan peranan efektif ke arah kesatuan dan mewujudkan khaira ummah.

Persidangan kali kedua ini yang menghimpunkan 44 penceramah dari 17 negara, antaranya bertujuan mencari kesedaran dan pendidikan bagi menghadapi ideologi ekstremis dan menggantikan perbezaan antara masyarakat pelbagai latar belakang politik kepada kerjasama dan perpaduan. 

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan