25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Mini KUD @ Lipis bantu perkasa usahawan luar bandar

Program yang bermula hari ini hingga 3 Julai 2022 di Dataran Orang Kaya Haji, Lipis, Pahang disertai enam agensi di bawah KPLB.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperhebatkan usaha membantu usahawan luar bandar mengembangkan perniagaan mereka dengan penganjuran Mini Karnival Usahawan Desa (KUD).

Timbalan Menteri 1, Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, program Mini KUD ini antara inisiatif KPLB bagi melahirkan usahawan luar bandar yang lebih cekap mengurus perniagaan menerusi bimbingan dan kursus yang dilaksanakan di bawah KPLB.

“Program ini juga meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk luar bandar dalam meneroka peluang pasaran baharu yang lebih besar juga menjadi medium mewujudkan akses pasaran produk serta perkhidmatan usahawan luar bandar kepada pemborong, pengedar dan pembeli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau aktiviti gerai jualan usahawan dan pameran agensi di Mini KUD @ Lipis di Kuala Lipis, Pahang, hari ini.

Program yang bermula hari ini hingga 3 Julai ini di Dataran Orang Kaya Haji, Lipis, Pahang disertai enam agensi di bawah KPLB iaitu Majlis Amanah Rakyat (Mara), Felcra Berhad, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR). 

Orang Asli turut melibatkan diri dalam Mini KUD @ Lipis.

Program empat hari berkenaan turut mendapat sokongan dan kerjasama Majlis Daerah Lipis (MDL) khususnya dalam penyediaan tapak dan penglibatan perancangan dan pelaksanaan aktiviti pengisian Program Mini KUD @ Lipis.

Program di Lipis ini menyasarkan 5,000 pengunjung setiap hari dengan nilai jualan tunai lebih RM200,000 sepanjang empat hari penganjurannya.

130 usahawan dari pelbagai agensi di bawah KPLB dan usahawan tempatan di bawah kelolaan Majlis Daerah Lipis menyertai program ini dari kategori makanan dan minuman, pakaian wanita, lelaki dan kanak-kanak, kecantikan dan kesihatan, kraftangan, produk pertanian, penjaja kecil makanan dan minuman serta Food Truck.

Tambah Abdul Rahman lagi, penganjuran Mini KUD @ Lipis turut menampilkan Rural Business Challenge (RBC) Bistro yang disertai oleh pemenang RBC sekitar negeri Pahang.

“RBC Bistro mencipta peluang akses pasaran yang lebih luas, meningkatkan aktiviti jualan, pelebaran jaringan perniagaan seterusnya berupaya mengembangkan perniagaan usahawan luar bandar khususnya usahawan RBC,” katanya.

Selain khemah jualan, antara aktiviti dijalankan termasuk pameran oleh bahagian di bawah KPLB dan agensi serta anak syarikat yang memfokus kepada keusahawanan, pendidikan serta penawaran, penerangan dan pendaftaran kemudahan disediakan seperti Skim Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB), Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED), Program Start Right (PSR) @ KPLB Rural Mobile Entrepreneur (RME) untuk Pembangunan Usahawan Desa.

Pembangunan Ekonomi Komuniti pula menyediakan Program Onboarding Usahawan, penerangan, pameran dan jualan, pitching dan pendaftaran bagi Program DesaMall@KPLB.

MARA turut memberi penerangan dan pendaftaran kemudahan pembiayaan perniagaan, latihan keusahawanan dan penyewaan premisnya serta sesi padanan perniagaan. 

Tidak ketinggalan pilihan kemasukan dan pendaftaran kolej-kolej di bawah Institut Pendidikan MARA (IPMa) iaitu IKM, KKTM, UniKL, GiatMARA dan Bahagian Kemahiran dan Teknikal MARA.

Jelas Abdul Rahman, menerusi pameran di Mini KUD @ Lipis, pengunjung boleh mendapat penerangan berkaitan pelbagai program keusahawanan dan pembangunan ekonomi serta kemudahan pembiayaan perniagaan serta peluang yang disediakan.

Menariknya, pengunjung juga boleh mendapatkan perkhidmatan percuma seperti gunting rambut, penyelenggaraan motor serta Water Transfer dan Air brush oleh pelajar GiatMara.

“Melalui perkhidmatan berkenaan, kita mahu tunjukkan pelajar yang mempelajari kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) khususnya di GiatMara, mampu menggunakan kemahiran mereka seterusnya menceburi kerjaya sebagai usahawan,” katanya.

Pelbagai aktiviti diadakan di Mini KUD @ Lipis

Pengisian lain termasuk Forum Perdana Islam, pertandingan nasyid, demonstrasi bomba, pertandingan memasak, Pameran Kenderaan Pacuan Empat Roda Vespa dan motorsikal Yamaha Y15, Fun Ride (Acara kayuhan berbasikal), Pertandingan Liga Sepakan Penalti, Perlawanan Persahabatan Bola Sepak, Kejohanan Dart Beregu Tertutup Pantai Timur.

Turut dipamerkan pertunjukan khas pasukan Senoi Praaq, persembahan kebudayaan Orang Asli, persembahan Briged Seni RISDA, pertandingan mewarna kanak-kanak terbuka, persembahan artis jemputan antaranya Dato’ Hattan, Dato’ Nash, Ronnie Hussein, Syura Badron, Roslan Madun, Neeta Manis, Kumpulan Floor 88 serta Bell Ngasri selaku pengacara majlis. 

Gerai buah-buahan FAMA dengan aktiviti jualan menarik turut menjadi tarikan di samping Mobile Learning INFRA.

Pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah sebuah motorsikal.

Abdul Rahman berharap penduduk setempat beramai-ramai memeriahkan program Mini KUD @ Lipis sekali gus memberikan sokongan kepada usahawan yang terbabit.

“Program ini juga dimeriahkan lagi dengan penggunaan baucer penggalak jualan yang keseluruhannya bernilai RM5,000 yang diberi secara percuma kepada pengunjung untuk memeriahkan jualan usahawan yang menyertai Program Mini KUD @ Lipis ini,” katanya.

Untuk rekod, penganjuran mini KUD kali kedua pada tahun ini diadakan di Lipis, Pahang selepas Pontian, Johor pada bulan Mac.

Sehingga kini lebih 64,000 usahawan di bawah KPLB menjalankan pelbagai jenis perniagaan. 

-EDISI9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan