25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Rahman Shaari dinobat Sasterawan Negara – Radzi Jidin

Sebanyak 12 pencalonan telah diterima daripada persatuan, institusi dan individu berwibawa.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PRESIDEN Persatuan Penyair Malaysia (Penyair), Datuk Rahman Shaari dinobatkan sebagai Sasterawan Negara ke-15.

Menteri Pendidikan Radzi Jidin dalam satu hantaran di Facebook hari ini menyatakan sebanyak 12 pencalonan telah diterima daripada persatuan, institusi dan individu berwibawa.

Menurut beliau, panel Anugerah Sastera Negara telah menyenarai pendek tiga calon dan sebulat suara bersetuju memutuskan tokoh kelahiran Kampung Gial, Perlis berkenaan sebagai penerima anugerah.

“Beliau (Rahman) merupakan seorang ahli akademik dan tokoh yang secara berterusan menyumbang kepada perkembangan kesusasteraan negara melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran serta kepimpinan dalam persatuan sastera sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Sekali lagi tahniah kepada Datuk Rahman Shaari dan terima kasih buat semua ahli panel yang terdiri daripada tokoh dan penggiat sastera atas ketelitian, komitmen dan dedikasi dalam melaksanakan amanah selaku panel Anugerah Sastera Negara ke-15,” kongsinya.

Radzi ketika mempengerusikan mesyuarat Panel Anugerah Sastera Negara bagi memuktamadkan penerima Anugerah Sastera Negara Ke-15, petang tadi. FOTO: Facebook Dr Radzi Jidin.

Dalam pada itu, menurut laporan Bernama, majlis pengurniaan anugerah tersebut akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Anugerah Sastera Negara diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu dan memberikan sumbangan cemerlang secara berterusan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi.

Radzi berkata Rahman akan menerima Warkah Penghormatan Negara dan wang tunai sebanyak RM60,000, selain penerbitan sebanyak 50,000 naskhah buku atau nilai harga buku berjumlah maksimum RM500,000 untuk dibeli kerajaan serta disebar luas ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

Dia juga akan menerima kemudahan rawatan percuma dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kemudahan kegiatan mencipta karya sastera dan penerbitan karya, penterjemahan karya yang sesuai dalam bahasa asing, selain elaun sara hidup RM5,000 sebulan.

Rahman yang kini seorang penulis bebas dilahirkan di Kampung Gial, Mata Ayer, Perlis pada 5 Sept 1949 dan pernah bertugas sebagai guru, pegawai bahasa dan pensyarah di institut pengajian tinggi awam.

Dia juga pernah menerbitkan 16 buku akademik, 10 novel, terlibat dalam penghasilan kamus, penyusunan buku selain penulisan skrip drama pentas dan televisyen.

Rahman memenangi tempat pertama sayembara menulis esei dan kritikan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1977, Hadiah Sastera Malaysia kategori puisi pada 1976, 1982 dan 1986 dan Anugerah Penyair Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) pada 2013.

-EDISI9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan