30.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Negara kehilangan legenda sukan lawan pedang – PM

Ronnie merupakan legenda sukan lawan pedang negara dan bekas atlet Olimpik 1964 Tokyo.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan rasa dukacitanya dan takziah kepada keluarga mendiang Ronnie Ignatius Theseira.

Beliau menegaskan negara kehilangan seorang legenda yang dihormati dalam sukan lawan pedang negara.

“Takziah saya ucapkan kepada keluarga atlet Olimpik Tokyo 1964 itu dan berharap mereka terus tabah menghadapi dugaan ini.

“Jasa dan pengorbanan beliau dalam sukan pedang negara akan sentiasa dikenang oleh seluruh Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Untuk rekod, Ronnie merupakan legenda sukan lawan pedang negara dan bekas atlet Olimpik 1964 Tokyo.

Mendiang meninggal dunia akibat sakit tua pada usia 92 tahun di sebuah rumah penjagaan warga emas di Melaka, kelmarin.

Ronnie, yang membantu memperkenalkan sukan lawan pedang di Malaysia sekitar tahun 1950-an, menghembuskan nafas terakhir ketika sedang tidur.

Mendiang meninggalkan dua anak perempuan manakala isterinya meninggal dunia 10 tahun lalu.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Lawan Pedang Malaysia, Rusni Abu Hasan berkata, upacara sembahyang jenazah mendiang Ronnie akan diadakan di Xiao En Memorial Centre, Cheras, Kuala Lumpur pada jam 11 pagi, Selasa ini (esok).

Menurut catatan Facebook daripada Persatuan Olimpian Malaysia (MOA), Ronnie mewakili Malaysia dalam sukan lawan pedang di Sukan Olimpik 1964 di Tokyo,Jepun.

Selain lawan pedang, mendiang juga cemerlang dalam sukan tinju, bina badan dan tarian ballroom.

“Takziah kami ucapkan kepada keluarga dan rakan-rakannya. Semoga rohnya tenang,” kongsi MOA.

-EDISI9 

Terkini

Jarak bukan penghambat kemesraan menyambut Aidilfitri

Oleh DR AZMAWATY MOHAMAD NOR HARI Raya Aidilfitri merupakan peristiwa yang menggembirakan di mana ia adalah masa untuk keluarga dan...

Lagi Artikel Berkaitan