30.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Larangan kenderaan berat masuk ibu negara bermula hari ini

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEMUA kenderaan berat melebihi 7.5 tan dilarang daripada memasuki ibu negara pada waktu puncak berkuatkuasa serta-merta bermula hari ini.

Penguatkuasaan tegas oleh Kementerian Wilayah Persekutuan melalui agensi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu bertujuan mengurangkan kesesakan jalan raya di ibu negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, tindakan jangka pendek dan sederhana itu dibuat oleh Jawatankuasa Tindakan Khas yang dipengerusikannya untuk menangani masalah kesesakan di ibu negara secara holistik.

“Sebagai langkah jangka masa pendek, kita telah mengambil ketetapan bahawa bermula 1 Julai ini, penempatan kawalan penguatkuasaan secara bersama oleh DBKL dan Polis Diraja Malaysia pada waktu puncak akan digerakkan secara lebih drastik di 72 lokasi bawah polis (Bahagian Trafik) dan 13 lokasi di bawah DBKL.

“DBKL juga sudah dan akan meletak papan tanda larangan kenderaan berat di sempadan pada waktu puncak di beberapa lokasi strategik pada sesi pagi bermula 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dan sesi petang bermula 4.30 petang hingga 7.30 petang berkuatkuasa serta merta,” katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Turut bersama dalam sidang media tersebut Datuk Bandar DBKL, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh.

Katanya, langkah itu diambil kerana mendapati kemasukan kenderaan berat tanpa mengira waktu menjadi antara punca menyumbang kesesakan di ibu negara.

“Sekiranya selepas ini mana-mana kenderaan berat yang dikesan masuk, tindakan penguatkuasaan kompaun mandatori menggunakan Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dikenakan terhadap mereka oleh Polis dan juga Jabatan Pengangkutan Jalan tanpa kompromi.

“Selepas itu, kita juga tidak akan melayan sebarang rayuan pengurangan kompaun daripada mana-mana pihak penguasaha kenderaan berat di pejabat kami nanti,” katanya lagi.

Menurutnya, jumlah penggunaan kenderaan di ibu kota bertambah dengan mendadak sehingga 45 peratus kenaikan selepas kerajaan melonggarkan pergerakan pada Ogos tahun lalu.

“Kemasukan kenderaan berat tanpa mengira waktu menambahkan lagi kesesakan,” katanya.

Ujar beliau, para pekerja yang sudah mula bekerja secara rutin di pejabat selepas tiada lagi pelaksanaan kerja dari rumah didapati menggunakan kenderaan sendiri ke pejabat kerana berjaga-jaga terhadap jangkitan Covid-19 menyebabkan berlaku penurunan 30 peratus penggunaan pengangkutan awam.

Dalam perkembangan sama, DBKL juga akan meletakan paparan larangan kenderaan berat di lokasi berhampiran sempadan penyediaan kawasan parkir kenderaan berat sebelum masuk ke ibu negara.

Jalaluddin berkata, Pasukan Task Force Kesesakan Jalan Raya juga telah mengambil keputusan untuk melarang kenderaan parkir di bahu jalan semasa waktu puncak pagi dan petang serta membatalkan petak-petak parkir secara berperingkat di jalan-jalan utama kawasan hotspot.

“Kita juga melarang penjaja meniaga di bahu jalan semasa waktu puncak pagi dan petang, membatalkan petak-petak penjaja secara berperingkat terutama di bahu jalan di jalan-jalan utama kawasan hotspot.

“Pada masa yang sama, kita juga akan mengemaskini papan-papan tanda berkaitan lalu lintas dan peraturan keselamatan jalan raya, serta menguatkuasa larangan kenderaan berhenti di petak-petak kuning persimpangan.

“Pasukan Task Force Kesesakan Jalan Raya Kuala Lumpur juga mencadangkan lorong akses plaza tol pelbagai fungsi ditukar daripada sistem yang digunapakai sekarang dan menyediakan laluan kontra pada waktu puncak pagi dan petang.

“Saya juga sudah meminta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) agar membentangkan kertas kerja memperluaskan penggunaan sistem Smart Tag dan RFID tanpa palang secara meluas pada mesyuarat bulanan jawatankuasa tindakan khas ini Julai ini,” tambah beliau.

Pasukan Tsk Force sama juga mencadangkan lima perkara penyelesaian kesesakan untuk diteliti iaitu penambahbaikan jajaran bagi semua pengangkutan awam; intregrasi antara konsesi lebuhraya dan penyuraian trafik yang lebih berkesan; penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan awam seperti GOKL termasuk kempen-kempen berterusan bagi galakkan penggunaan pengangkutan awam; penambahan infrastruktur sokongan contoh seperti laluan bawah tanah dan laluan pejalan kaki berbumbung; dan akhirnya menguatkuasa semula infrastruktur laluan lorong bas di pusat bandar.

“Selain itu, DBKL sedang dalam kajian terhadap sistem lampu isyarat dalam Kuala Lumpur dan pinggir Kuala Lumpur agar ia lebih komprehensif dan mampu mengawal pergerakan trafik dengan lebih selari dan signifikan.

“Bagi memastikan pasukan ini mampu melestarikan hasrat mengurangkan kadar kesesakan jalan raya, DBKL akan melibatkan pakar-pakar akademik yang ada di universiti awam mahupun swasta di negara kita, agar dapatan kepada kajian-kajian mereka selama ini dapat diimplementasi dan diselaraskan penggunaannya di Kuala Lumpur,” ujarnya.

Terkini

Jarak bukan penghambat kemesraan menyambut Aidilfitri

Oleh DR AZMAWATY MOHAMAD NOR HARI Raya Aidilfitri merupakan peristiwa yang menggembirakan di mana ia adalah masa untuk keluarga dan...

Lagi Artikel Berkaitan