33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

71,895 pesara tentera tiada pencen – JHEV

Manakala 114,474 menerima pencen veteran atau pencen terbitan kepada balu atau duda.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SERAMAI 71,895 daripada 203,477 pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) didapati tidak mempunyai pencen.

Jurucakap Unit Komunikasi JHEV berkata, bagaimana pun daripada jumlah tersebut, seramai 114,474 menerima pencen.

Menurut beliau, penerima pencen diberikan kepada bekas tentera ataupun veteran manakala penerima pencen terbitan diberikan sama ada kepada balu atau duda.

“Bilangan penerima pencen RM2,208 dan ke bawah membabitkan 91,162 orang. Bagi bilangan penerima pencen berjumlah RM1,169 dan ke bawah merangkumi 23,312 penerima,” katanya seperti dilapor BH Online, hari ini.

JHEV yang ditubuhkan pada 11 Oktober 2000 diletakkan di bawah pentadbiran Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Penubuhan jabatan ini untuk membantu pesara ATM dalam meningkatkan taraf sosioekonomi selepas anggota tentera menamatkan perkhidmatan.

Khamis lalu, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) menggesa bekas tentera yang tidak diiktiraf sebagai veteran supaya berdaftar dengan persatuan bagi menjaga kebajikan dan memastikan menerima bantuan sewajarnya.

Presiden PVATM, Datuk Sharuddin Omar, berkata mereka yang tidak diiktiraf sebagai veteran adalah bekas anggota yang diberhentikan akibat masalah disiplin.

Sharuddin berkata, berdasarkan data Jabatan Rekod dan Pencen Markas Tentera Malaysia, terdapat 10,281 bekas tentera dikategorikan tidak diiktiraf sebagai veteran ATM sehingga April lalu.

Semalam, Sharuddin turut membuat gesaan supaya hal berkaitan pelarasan pencen dan kebajikan bekas anggota tentera diselesaikan menerusi rundingan dalam masa terdekat dengan MINDEF.

Katanya, tuntutan itu dibuat kerana sudah sekian lama isu berkenaan tertangguh untuk dibawa ke meja rundingan yang akhirnya memperlahankan proses.

“Perkara ini sudah lama diusul dan dimohon sehingga mengambil masa terlalu lama. Kalau serius terhadap perkara penting is tidak meleret sehingga mengambil masa yang lama,” katanya.

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan