29.9 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Skim Harga Maksimum Musim Perayaan dilanjut 4 hari lagi

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melanjutkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2022 selama empat hari lagi berakhir 10 Mei ini.

SHMMP Aidilfitri 2022 yang bermula 26 April lalu sepatutnya tamat esok, namun dilanjutkan sehingga Selasa depan berikutan permintaan ramai.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam, berkata langkah itu bagi membolehkan seluruh Keluarga Malaysia berbilang kaum menikmati kemudahan diberikan dan dapat meneruskan tradisi kunjung-mengunjung serta rumah terbuka dalam suasana harmoni serta selamat.

Beliau berkata, pihaknya sudah memeriksa 6,702 premis perniagaan pada peringkat borong dan runcit sejak pelaksanaan SHMMP Aidilfitri 2022 bermula 26 April lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 10 kes dikesan melanggar perundangan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

“Kerajaan memutuskan untuk melanjutkan tempoh SHMMP Aidilfitri 2022 selama empat hari lagi bagi memudahkan seluruh Keluarga Malaysia menikmati kemudahan disediakan pada musim perayaan ini.

“Setakat ini, kita mengesan 10 kes kesalahan membabitkan kegagalan mematuhi keperluan tanda harga dan menjual barang kawalan melebihi harga maksimum,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azman berkata, selain itu, penentuan harga maksimum ayam dan telur akan terus berkuat kuasa sehingga 5 Jun akan datang.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat dan aduan jika ada peniaga menyalahi undang-undang melalui aplikasi WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000, portal aduan e-aduan.kpdnhep.gov.my, pusat panggilan 1-800-886-800, e-mel [email protected] dan Ez ADU KPDNHEP,” katanya.-Edisi 9

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan