31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Nama 5 doktor ‘pembuli’ telah diserah kepada KKM – Exco P. Pinang

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

NAMA lima doktor yang didakwa sebagai ‘pembuli’ di Hospital Pulau Pinang (HPP) telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, lima doktor berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan kes seorang doktor pelatih HPP yang maut akibat terjatuh dari sebuah apartmen di Jalan Datuk Keramat baru-baru ini.

“Saya telah menghantar nama lima doktor yang didakwa sebagai pembuli di HPP untuk diperiksa oleh menteri dan YB (Yang Berhormat) Khairy Jamaluddin telah menjawabnya.

“Nama yang dikemukakan ini bukan berkaitan dengan kes kematian doktor pelatih kerana kes ini masih dalam siasatan polis,” katanya di sini hari ini, lapor Kosmo!.

Sebelum ini, seorang doktor pelatih HPP dilaporkan maut selepas terjatuh dari aras 23 sebuah apartmen disewanya di Jalan Dato Keramat di sini, 17 April lalu.

Susulan kes berkenaan, KKM menubuhkan ‘taskforce’ bebas bagi menyiasat kes kematian doktor pelatih itu dan pasukan bertindak itu juga berfungsi menyiasat budaya buli yang didakwa berlaku.

Mengulas lanjut Norlela, nama lima doktor yang diserahkan kepada KKM tersebut didakwa sebagai mereka yang paling toksik.

“Saya serahkan nama doktor tersebut setelah membaca bahawa Exco Kesihatan Negeri Sembilan turut melakukan perkara ini dengan menyerahkan dua nama kepada Menteri Kesihatan,” katanya.

Semalam, media melaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) sudah diminta menjalankan siasatan berhubung laporan mendakwa doktor pelatih dibuli di dua hospital di negeri berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S Veerapan berkata, pihaknya menerima aduan berhubung insiden itu pada Mac dan April lalu.

“Terdapat dua laporan diterima berhubung kes doktor pelatih dibuli. Seorang doktor memberitahu menerima layanan tidak sepatutnya daripada doktor pakar yang melatihnya sehingga menyebabkan dia terpaksa mengambil cuti kerana mengalami tekanan emosi.

“Seorang lagi mendakwa doktor mentornya memberi penilaian tidak adil terhadap kerjanya yang dipercayai disebabkan ada isu komunikasi dan masalah peribadi antara mereka,”katanya.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan