32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Dilarang guna gelaran doktor lariskan produk kosmetik

Larangan tersebut adalah merujuk kepada Guideline for Cosmetic Advertisement yang dikeluarkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN menegaskan penggunaan gelaran profesional seperti doktor untuk produk kosmetik adalah tidak dibenarkan bagi melariskan produk tersebut.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, larangan tersebut adalah merujuk kepada Guideline for Cosmetic Advertisement yang dikeluarkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Malah menurutnya, pengasas produk kosmetik tidak boleh membuat tuntutan perubatan atau berlebihan mengenai produk masing-masing hingga melampaui skop takrifan kosmetik, iaitu membersih, mewangi atau mencantikkan.

“Ini kerana ia secara tidak langsung memberi tanggapan bahawa individu tersebut telah memberi nasihat profesional dan pengesahan kepada kosmetik terlibat.

“Tindakan regulatori seperti amaran iklan dan pembatalan notifikasi kosmetik akan diambil sekiranya kosmetik didapati diiklankan dengan tuntutan perubatan atau tuntutan yang melampaui skop takrifan kosmetik seperti yang ditetapkan dalam Guideline for Cosmetic Advertisement,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Sabri Azit (PAS-Jerai) berhubung tindakan pemantauan bagi menangani doktor media sosial yang berleluasa melariskan jualan kosmetik hingga menyebabkan kesan sampingan kepada para pengguna.

Dr Noor Azmi memaklumkan, KKM memantau 1,775 iklan kosmetik bernotifikasi sepanjang tahun lalu hingga Jun tahun ini, dengan 283 amaran iklan dikeluarkan kerana membuat tuntutan yang tidak mematuhi garis panduan kosmetik, selain 104 kosmetik dibatalkan status notifikasi kerana membuat tuntutan perubatan atau melampaui skop takrifan kosmetik.

“KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi menerima 86 aduan penjualan kosmetik tidak bernotifikasi secara dalam talian sepanjang tahun lalu sehingga Jun tahun ini, dan berdasarkan pengesahan aduan, sebanyak 444 premis diserbu dengan nilai rampasan berjumlah RM4,338,629.

“Selain itu, sejumlah 714 iklan kosmetik tidak bernotifikasi telah diarahkan untuk diturunkan di platform e-dagang dalam negara sejak tahun lalu sehingga Jun 2022,” katanya.

Ujar beliau lagi, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa menjalankan pemeriksaan dan operasi serbuan secara berterusan ke atas premis-premis atau penjual termasuk di media sosial bagi mengekang penjualan kosmetik tidak bernotifikasi dengan KKM.

“Syarikat atau individu yang didapati memiliki atau menjual kosmetik tidak bernotifikasi akan disiasat dan didakwa di mahkamah di bawah Akta Jualan Dadah 1952,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan