25.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

Elaun: Mahdzir akan jumpa pelajar tajaan Mara di UK

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MENTERI Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid akan mengadakan pertemuan dengan para pelajar Malaysia tajaan Mara di United Kingdom (UK) dan Ireland dalam masa terdekat.

Menurut beliau, langkah itu bagi membolehkannya mengetahui sejauh mana keadaan para pelajar terbabit yang kini dikatakan semakin tertekan kerana elaun yang diberikan tidak dapat menampung kos sara hidup yang semakin meningkat di negara itu.

Beliau berkata, perkara tersebut adalah sesuatu yang serius dan sangat dekat di hatinya kerana ia melibatkan jumlah pelajar yang ramai di bawah tajaan Mara.

“Mara sudah pun ada inisiatif untuk tengok berapa sebenarnya amaun elaun yang patut ditambah dan saya sendiri akan berjumpa pelajar di UK tidak lama lagi untuk berdialog bersama mereka.

“Macam mana mereka punya kehidupan sekarang, kos sara hidup. Apabila dapat maklumat, kita akan rumuskan nanti antara agensi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Apresiasi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Tahun 2021 di Sepang, Selangor hari ini.

Seramai 87 kakitangan KPLB dan 14 orang pesara menerima APC hari ini selain turut melancarkan Pelan Strategik Pengurusan Sumber Manusia Kementerian Pembangunan Luar Bandar 2022-2025.

Mahdzir berkata, beliau juga akan mengemukakan masalah tersebut kepada kerajaan untuk perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sebelum ini, Mahdzir dilaporkan berkata, KPLB sedang mengkaji kadar elaun tajaan pelajar Mara di luar negara terutamanya di UK dan Ireland yang terbeban akibat kos sara hidup tinggi.

Katanya, kementerian tersebut memahami peningkatan kos hidup di kedua-dua tempat itu dan kini sedang mengumpul maklumat jumlah pelajar Malaysia tajaan Mara yang berada di sana.

“Kos kehidupan pelajar kita yang berada di UK dan Ireland sangat tinggi. Kita tengah membuat kajian dengan penaja lain bagi mendapat maklumat terperinci tentang kos peningkatan hidup ini,”katanya.

Sementara itu, mengulas peletakan jawatan menteri oleh Datuk Zuraida Kamaruddin, beliau berkata, terpulang kepada Perdana Menteri untuk menyelesaikan isu tersebut.

Katanya, apa yang berlaku hari ini adalah senario yang terhasil daripada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 lalu.

“Taktahu nak komen macam mana. Saya pun baru baca berita tadi.

“Bagaimanapun, inilah senario yang berlaku, dalam tempoh empat tahun selepas Pilihanraya Umum (PRU) 2018 lalu. Inilah hasilnya,” katanya.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi setelah membuat keputusan meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). – Edisi 9



Terkini

Parlimen Malaysia, UNDP perbaharui kerjasama sehingga 2025

PARLIMEN Malaysia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bersetuju memperbaharui kerjasama sehingga 2025. Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri...

Lagi Artikel Berkaitan