28.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, October 12, 2024

Kerajaan cadang naikkan elaun anggota SMART – Ahmad Zahid

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN bercadang untuk menaikkan elaun Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dalam masa terdekat sebagai galakan dan motivasi kepada setiap anggotanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pasukan SMART cukup komited dalam melaksana operasi mencari dan menyelamat (SAR) di mana mereka merupakan antara yang terawal tiba di lokasi bencana.

Beliau berkata, mereka juga merupakan antara pasukan penyelamat yang terbaik di dunia dan mendapat pengiktirafan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dalam melakukan SAR pasca gempa bumi di negara tersebut.

“Untuk itu, adalah munasabah jika elaun kesusahan (SMART) dapat dipertingkatkan. Ini adalah untuk memberikan motivasi dan menggalakkan.

“(Dinaikkan) Secepat mungkin. Soal penghargaan, dalam Islam kalau hendak bayar upah jangan tunggu sehingga peluh kering. Jadi saya harap perkara ini dapat dilakukan (segera),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2023 di Markas SMART, Pulau Meranti, Puchong, hari ini.

Advertisements

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat mencadangkan agar pasukan SMART diperbesarkan keanggotaannya.

Ini kerana kata beliau, SMART ketika ini hanya dianggotai sebanyak 141 anggota dan hanya melibatkan tiga agensi utama sahaja.

“Kita mencadangkan keterlibatan sekurang-kurangnya tujuh agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) hendaklah dimobilisasikan.

“Hanya mereka yang terbaik dalam pasukan-pasukan dapat dipilih menyertai SMART. Bagaimana Polis Diraja Malaysia (PDRM), mereka yang terbaik dipilih masuk ke Unit Tindakan Khas (UTK).

“Begitu juga komando, Pasukan Khas Laut (Paskal), Pasukan Khas Udara, Pasukan Pertahanan Darat TUDM (Handau) dan sebagainya. Jadi kaedah yang sama dicadangkan agar pasukan ini akan lebih termotivasi,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

1,091 projek naik taraf sekolah daif telah diluluskan – KPM

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) telah meluluskan sebanyak 1,091 projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara...

Lagi Artikel Berkaitan