SETIAP pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) harus memikul amanah besar dan kembali menabur bakti setanding dengan kos RM600,000 yang dikeluarkan ke atas mereka sepanjang tempoh belajar di Perancis.
Ini kerana, kata Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, semua wang yang MARA salurkan ini adalah wang rakyat yang punya matlamat agar pelaburan besar ini dimanfaatkan untuk mereka kembali menjadi manusia yang bermanfaat untuk agama, bangsa dan tanahair.
“Justeru, mereka harus menggali pengalaman dan khazanah ilmu sebaiknya sepanjang berada di perantauan.
“Namun, mesti sentiasa ingat Allah dan jangan sesekali melakukan perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah.
“Saya juga mengingatkan besarnya amanah disandarkan ke atas bahu mereka dengan kos RM600,000 sepanjang tempoh mereka belajar di Perancis,”katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari.
Terdahulu, beliau mengadakan sesi pertemuan dengan pelajar-pelajar Malaysia di Perancis.
Beliau berkata, hari ini sempat singgah ‘transit’ di Nice Peranchis bagi meluangkan masa mengadakan sesi pertemuan dengan pelajar-pelajar Malaysia di Perancis.
“Mereka adalah sebahagian daripada hampir 400 pelajar Malaysia termasuk 149 pelajar tajaan MARA di negara Perancis,”katanya.
Dalam pertemuan itu, beliau juga turut berkesempatan meluangkan masa dengan menjamu pelajar makan tengahari ala Perancis di Restoran Le-Makassar, Nice.
“Tidak seperti di United Kingdom (UK) dengan pilihan makanan halal dan masakan Malaysia yang pelbagai dan mudah.
“Pelajar-pelajar ini datang dari seluruh negara termasuk dari Nice, Lyon, Aix-en-provence, Toulouse, Valbonne dan Metz.
“Semoga Allah permudahkan segala urusan pengajian mereka di sini dan berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang pada masa hadapan,”katanya.
Difahamkan, esok Dr Asyraf akan meneruskan jadual kerja MARA termasuklah menghadiri sesi menandatangai MoU bersama beberapa institusi-institusi TVET di Jerman, libat urus bersama The German Chamber of Commerce and Industry (DIHK) serta jalinan kerjasama dengan syarikat terkemuka Jerman, Bosch. – Edisi 9