26.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 7, 2024

JCCM 2023 rekod jualan RM4.6 juta pakej pelancongan

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

JERAYAWARA Jom Cuti- Cuti Malaysia (JCCM) 2023 berjaya merekodkan hasil jualan bernilai RM4,587,822.75 yang melibatkan sebanyak 20,947 pakej pelancongan sejak dilancarkan Februari lalu.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia (TM), Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar berkata, program jelajah tersebut telah memasuki siri ketujuh kini di Blue Atrium, Sunway Pyramid berlangsung selama tiga hari, bermula semalam.

Katanya, JCCM 2023 bertujuan merancakkan lagi aktiviti pelancongan domestik menerusi penjualan pakej pelancongan secara terus kepada pengguna selain menggalakkan rakyat bercuti di dalam negara.

“Pada masa sama, kita mahu membantu meningkatkan ekonomi penggiat industri tempatan menerusi penglibatan 30 wakil industri terdiri daripada agensi dan pemilik produk pelancongan, hotel serta taman tema selain meningkatkan kunjungan ke pusat beli-belah.

“Kami juga berharap dapat meningkatkan pergerakan percutian di dalam dan antara negeri menerusi tawaran pakej pelancongan ‘value for money’ yang hanya boleh diperoleh dalam masa tiga hari sepanjang jerayawara ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

JCCM 2023 menawarkan lebih 100 pakej pelancongan yang melibatkan diskaun antara 15 sehingga 50 peratus kepada orang ramai.

Advertisements

Antara pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan ialah Pakej Jelajah Kota Kinabalu dan Kundasang, pakej glamping, pakej berbulan madu, pakej percutian ke Pulau Rawa, Redang dan Tioman serta Pakej Cruise Tasik Putrajaya.

Turut ditawarkan ialah tiket masuk ke Sunway Lagoon Theme Park, Segar City, Super Park dan Farm In The City; pakej selam skuba, Pakej Cuti-Cuti Cikgu, Pakej Minat Khas sempena Sambutan Ulang Tahun ke-50 TM serta Pakej Pelancongan Arkeo dan Geopark Lembah Lenggong.

Jerayawara JCCM 2023 bakal melabuhkan tirainya secara rasmi dalam siri kelapan yang bakal dianjurkan di AEON Mall Bandaraya Melaka pada 10 hingga 12 November ini.

Selain pameran dan jualan pakej pelancongan, pengunjung turut disajikan dengan persembahan tarian kebudayaan, demonstrasi kraftangan, pertunjukan roti canai terbang serta cabutan bertuah.

Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, TM bergerak lebih agresif dalam memperkasakan aktiviti promosi dan pemasaran pelancongan seiring dengan hasrat kerajaan yang menyasarkan ketibaan 26.1 juta pelancong asing dan anggaran perbelanjaan domestik sebanyak RM 97.6 bilion. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

MASA, IDS jalin kerjasama bidang penyelidikan, masyarakat

INSTITUT Kajian Pembangunan (Sabah) IDS dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan menjalin...

Lagi Artikel Berkaitan