PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada rakyat dan ahli UMNO untuk menilai susulan pendedahan satu ‘minit mesyuarat’ didakwa membabitkan perbincangan strategi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) membabitkan pemimpin Perikatan Nasional (PN).
Dokumen tidak diketahui kesahihan sumbernya itu antara lain tertulis gesaan supaya pendakwaan kes mahkamah membabitkan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), disegerakan.
“Perancangan manusia dan perancangan Allah. Terpulanglah kepada rakyat dan ahli UMNO menilainya sendiri.
“Saya berserah hanya kepada Allah. Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan-Nya,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Tan Sri Shahrir Samad berhubung satu dokumen didakwa ‘minit mesyuarat’ Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU-15.
Shahrir menuntut jawapan daripada para pemimpin terbabit sama ada benar dakwaan bahawa Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara sudah bersetuju supaya kes mahkamah yang dihadapi Zahid dipercepat serta hukuman segera disabitkan.
“Ini adalah sedutan daripada apa yang dikatakan adalah ‘laporan risikan’ pemimpin-pemimpin Pas bagi tujuan menyediakan pilihan atau option untuk strategi Pas berhadapan dengan PRU-15.
“Kalau betul apa yang terdedah itu adalah pendapat ‘TSMY’ (merujuk Tan Sri Muhyiddin Yasin), maka ianya membayangkan sudah berlakunya satu konspirasi dan pakatan haram antara pemimpin politik dengan AG (Peguam Negara) dan CJ (Ketua Hakim).
“Kalau betul, sudah berlaku kerosakan sistem judiciary dan kehakiman negara,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan menunggu sebarang penafian daripada pemimpin tertentu serta laporan polis terhadap pendedahan laporan risikan ini.
“Sekurang-kurangnya, Perdana Menteri boleh tanya ‘AG’ betul ke pendapat ‘TSMY’ tu. Betul ke sudah ada ‘kolusi’ di antara pemimpin politik dengan ‘AG’ dan ‘CJ’?
“Tak susah sebenarnya kalau nak cari kebenaran dalam hal ni,” katanya.