32.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

PM lancar HIJRAH24, pelan transformasi perkukuh TH

Mesti Baca

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan Pelan Transformasi Strategik Tabung Haji (TH) 2022-2024 bagi memperkukuhkan organisasi itu untuk tiga tahun ke hadapan.

Dinamakan HIJRAH24, pelan tersebut merangkumi 24 inisiatif strategik untuk mencapai aspirasi TH, dengan tumpuan kepada pengukuhan struktur tadbir urus korporat, operasi serta didorong oleh inisiatif digitalisasi.

Menurut Perdana Menteri, melalui HIJRAH24, TH menetapkan sasaran utama antara lain iaitu peningkatan saiz dana berjumlah RM100 bilion pada 2024.

“Tabung Haji merupakan antara pengurus pelaburan patuh syariah berkumpulan terbesar di Malaysia dengan aset di bawah pengurusan bernilai RM87.3 bilion dengan deposit berjumlah RM86.5 bilion daripada 8.4 juta pendeposit.

“Sejak 1966 sehingga tahun lepas, TH telah mengagihkan sebanyak RM35.6 bilion keuntungan kepada pendepositnya.

“Dari tahun 2001 pula, TH telah memberi bantuan kewangan haji berjumlah RM2.02 billion bagi meringankan beban kewangan jemaah Keluarga Malaysia,” kata beliau ketika melancarkan HIJRAH24 di Kuala Lumpur hari ini.

Advertisements

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dan Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Azman Mokhtar.

Ismail Sabri berkata, di bawah pelan itu juga TH berusaha untuk menambah jumlah pendeposit meliputi lebih 50 peratus daripada penduduk Islam Malaysia.

Manakala sasaran lain, kata beliau, mencatat keuntungan boleh agih kepada pendeposit pada kadar melebihi 0.75 peratus daripada kadar pulangan Islamik sert meningkatkan pengguna THiJARI melebihi 4 juta pengguna.

“Pelan HIJRAH24 yang dirasmikan petang ini diyakini dapat melonjakkan semula aktiviti perniagaan serta pelaburan TH bagi memastikan kesinambungan dan kecemerlangannya secara berterusan.

“Saya juga dimaklumkan bahawa pelan ini dibangunkan selari dengan nilai dan ciri-ciri Keluarga Malaysia yang menerapkan pengkayaan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran,” kata Perdana Menteri. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

CENTHRA gesa kerajaan mansuh undang-undang tindas hak asasi

SEBUAH pertubuhan hak asasi menggesa kerajaan memansuhkan undang-undang yang menindas hak asasi manusia kerana langkah tersebut sejajar dengan piawaian...

Lagi Artikel Berkaitan