30.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Pesawat berpatah balik: CAAM siasat Sistem Pengawasan Data Penerbangan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PIHAK Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan melihat semula Sistem Pengawasan Data Penerbangan dalaman Malaysia Airlines Bhd. (MAB) susulan sebuah pesawat syarikat itu yang berpatah balik semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kapten Chester Voo berkata, perkara itu penting bagi memantau dan merekodkan semua profil data penerbangan pesawat berkenaan.

Menurutnya, data awal menunjukkan maklum balas yang betul daripada kru operasi berhubung isu teknikal ini.

“Kami sedang berhubung rapat dengan MAB untuk memastikan segala perkara berkaitan keselamatan teknikal ditangani sebaiknya mengikut segala prosedur keselamatan dan peraturan termasuklah maklum balas juruterbang dan proses airworthiness bagi jenis pesawat berkenaan.

“Kami juga akan terus memantau situasi ini dan tidak akan berkompromi atas sebarang isu yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan sekuriti operasi syarikat penerbangan dan orang awam,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ujar Chester Voo lagi, pihaknya juga mengesahkan satu Mandatory Occurrence Report telah diterima dari MAB berhubung pesawat MH2664 dari Kuala Lumpur ke Tawau itu.

Menurutnya, pesawat berkenaan telah berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan dan mendarat dengan selamat pada pukul 5.03 petang.

“Juruterbang dan pembantu juruterbang juga telah mengendalikan isu teknikal tersebut dengan selamat dan pesawat berkenaan kembali ke Kuala Lumpur bagi tujuan penyelenggaraan.

Terdahulu tular di media sosial, perkongsian salah seorang penumpang mendakwa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH2664 secara tiba-tiba hilang ketinggian dari 31,000 kaki ke 24,000 kaki ketika dalam penerbangan ke Tawau, Sabah.

Lapor Sabah Media, penumpang berkenaan yang dikenali sebagai Halimah Nasoha berkata, pesawat MH2664 yang dinaikinya itu dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Tawau, Sabah pada jam 2.30 petang, Ahad, 3 April.

Bagaimanapun selepas 30 minit penerbangan, Halimah mendakwa pesawat MH2664 hilang ketinggian dari 31,000 kaki ke 24,000 kaki.

Pada masa kejadian, Halimah juga tidak menggunakan tali pinggang keledar berikutan isyarat penggunaan alat keselamatan itu dipadamkan, menyebabkan dia terasa seperti melambung.

Bagaimanapun, kejadian itu katanya hanya berlaku dalam beberapa saat sahaja. Namun, ramai penumpang yang menjerit dan menangis ketakutan selepas mengalami kejadian yang tidak dijangka itu.

“Sekitar jam 3.03 petang, pesawat tiba-tiba menurun laju gila dengan kelajuan anggaran 31,000 kaki ke 24,000 kaki (berdasarkan semakan di aplikasi Flight Radar 24) hanya dalam beberapa saat.

-EDISI9

Terkini

Pembelaan Zahid terhadap Najib tulus sejati, tidak pernah dijaja

PEMBELAAN Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tulus dan sejati...

Lagi Artikel Berkaitan