PARA peminat dan penyokong pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) boleh menarik nafas lega apabila penjaga utama kelab tersebut, Mohd Farizal Marlias kini semakin pulih daripada kecederaannya.
Menerusi laman Intagramnya, penjaga gol kebangsaan itu juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakannya, terutama kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Alhamdulillah, keadaan saya semakin baik.
“Terima kasih kepada yang mendoakan saya terutamanya keluarga, peminat dan penyokong bola sepak tanah air, keluarga JDT serta seseorang yang sentiasa ada bersama, Tunku Mahkota Johor (TMJ),” katanya hari ini.
Kapten JDT itu tidak sedarkan diri selepas bertembung dengan pemain pertahanannya ketika perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim Ahad lalu.
Insiden mencemaskan itu berlaku pada minit ke-60 perlawanan apabila dia berlaga dengan pemain pertahanan JDT, Shane Lowr.
Susulan kejadian itu, pemain kelahiran Maran, Pahang tersebut dirawat di sebuah hospital dengan pemantauan rapi oleh doktor.
Pengendali JDT, Benjamin Mora turut mengesahkan Farizal Marlias berada dalam keadaan stabil berdasarkan laporan pihak perubatan,
Sementara itu, pada Isnin, Tunku Ismail turut berkongsi di laman Facebook baginda tentang keadaan Farizal ketika menziarahnya di hospital. – Edisi 9