29.9 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Video anggota ambil rasuah, polis terima laporan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

POLIS sedang menjalankan siasatan berhubung video tular yang memaparkan anggotanya menerima rasuah daripada seorang lelaki dalam kejadian di Jalan Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang.

Dalam video berdurasi 1.01 minit itu memaparkan seorang lelaki memegang wang kertas dipercayai RM200 dalam sebuah kereta sebelum dia turun menyerahkan wang itu kepada anggota polis yang sedang menunggu dalam sebuah kereta peronda.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggotanya sekiranya terlibat dengan salah laku rasuah.

“Telah tular satu video di aplikasi TikTok yang memaparkan anggota polis didakwa menerima rasuah daripada seorang lelaki.

“Kejadian itu dipercayai berlaku berhampiran sebuah bank di Jalan Bagan Ajam, Butterworth,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Radzi turut mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki mengenai kejadian itu di Balai Polis Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang pada Isnin.

Berikutan itu katanya, polis kini sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

Dalam video berkenaan, bagaimanapun tidak kelihatan dalam rakaman perbuatan lelaki itu menyerahkan wang tersebut.

Tidak lama kemudian kelihatan kenderaan polis itu bergerak dan lelaki terbabit kembali semula ke dalam keretanya sebelum dia mengecam perbuatan polis yang meminta rasuah daripadanya. – Edisi 9

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan