25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

12 mangsa penipuan tawaran kerja di Kemboja tiba di KLIA2

Baki empat lagi mangsa terdiri tiga lelaki dan seorang wanita tidak diboleh dibawa pulang selepas disahkan positif COVID-19.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SERAMAI 12 daripada 16 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja di Kemboja selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pagi ini.

Kesemua mereka tiba pada pukul 8 pagi sebelum disambut Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar, Datuk Amran Mohamed Zin dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

Bagaimanapun, empat lagi mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita tidak boleh dibawa pulang ke tanah air hari ini selepas disahkan positif COVID-19.

Amran berkata, baki mangsa lain akan dibawa pulang ke tanah air selepas tamat tempoh kuarantin tujuh hari di Phnom Penh dan keadaan mereka kini dipantau pihak Kedutaan Malaysia di sana.

Beliau berkata, kesemua mangsa itu ditahan oleh pihak berkuasa Kemboja pada 4 April lalu sebelum di bawa ke Phnom Penh pada 7 April lalu untuk disoal siasat.

“Kerjasama erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa Kemboja menerusi Polis ASEAN (ASEANAPOL) membolehkan kesemua mangsa berjaya dibawa pulang hari ini.

“Kami difahamkan, kesemua mangsa ini ditahan di negara itu kerana didapati melakukan kesalahan yang menyalahi undang-undang di Kemboja termasuk terbabit dalam sindiket penipuan (scammer) dan judi dalam talian.

“Kita dimaklumkan bahawa Kemboja telah mengharamkan aktiviti perjudian dalam talian sejak 1 Januari 2020.

Advertisements

“Bagaimanapun, kesemua mangsa telah ditahan menerusi beberapa operasi bagi membanteras kegiatan itu,” katanya memetik laporan Utusan.

Dalam pada itu, Amran berkata, pihaknya menasihatkan rakyat Malaysia supaya lebih berhati-hati untuk menerima sebarang tawaran pekerjaan yang ditawarkan menerusi media sosial.

Katanya, mana-mana rakyat Malaysia yang berminat untuk mendapatkan pekerjaan di luar negara disarankan supaya menyemak dengan kedutaan Malaysia di luar negara terlebih dahulu.

Sementara itu, Abd. Jalil berkata, pihaknya menerima 35 laporan polis membabitkan 45 rakyat tempatan yang terkandas di beberapa negara lain termasuk Myanmar, Thai dan Laos.

Sebelum ini, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong mendedahkan 16 rakyat tempatan menjadi tawanan sindiket penipuan antarabangsa di Kemboja sebelum dipaksa menjadi ‘scammer‘.

Difahamkan, mangsa sebelum itu diumpan sindiket untuk bekerja sebagai operator tele pemasaran dan perkhidmatan pelanggan di Kemboja dengan tawaran gaji lumayan.

Mangsa mendakwa di bawa masuk ke Kemboja menerusi penerbangan atau melalui jalan yang tidak diwartakan atau jalan tikus.

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan