SEBUAH kenderaan pelbagai guna dengan muatan enam guni berisi mercun bola ditemui terbabas dalam parit berdekatan Taman Prima dekat Lubok Jong, Pasir Mas, Kelantan, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kereta terbabit ditemui orang awam sebelum dimaklumkan kepada pihaknya kira-kira pukul 3.15 petang.
Menurut beliau, sepasukan anggota bergegas ke lokasi melakukan pemeriksaan sebelum menemui beberapa guni dipercayai mengandungi mercun bola yang disyaki dibawa penyeludup dari negara jiran.
“Anggota bertugas menunggu di lokasi kejadian selama 30 minit, namun tiada sesiapa pun datang untuk menuntutnya, sebelum kereta berkenaan ditarik ke tempat selamat menggunakan trak penunda.
“Kereta bersama stok mercun dianggar bernilai RM4,800 itu kemudian dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
“Hasil semakan pada rekod nombor pendaftaran kereta terbabit mendapati ia milik individu dari Kluang di Johor, namun tiada sebarang sebarang rekod jenayah dikesan,” katanya hari ini.
Mohd Nasaruddin berkata, pihaknya percaya mercun terbabit dibawa masuk secara melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok yang bukan hanya untuk pasaran tempatan, tetapi juga luar Kelantan.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan rampasan pelbagai jenis mercun bernilai RM22,680 di Kampung Padang Licin, dekat Rantau Panjang, kira-kira jam 7.15 malam semalam.
“Seorang lelaki yang menyedari kehadiran pihak berkuasa cuba mengelak dengan memecut kenderaan dipandu, sebelum berhenti secara tiba-tiba di tepi jalan Rantau Panjang-Pasir Mas dan melarikan diri di kawasan semak berhampiran.
“Kita masih berusaha mengesan suspek dan hasil pemeriksaan pada kereta terbabit menemukan kotak mengandungi pelbagai jenis mercun, juga dipercayai dari negara jiran.
“Kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Kakisan 1957,” katanya.
-EDISI9