SKUAD Harimau Malaya hampir dimalukan Kemboja dalam aksi pertama Kumpulan A Piala Mitsubishi Electric ASEAN (MEA) 2024 apabila terikat 2-2 dalam perlawanan di Stadium Olimpik di Phnom Penh sebentar tadi.
Ramuan Pau Martin yang menggabungkan pemain senior dan junior dalam kejohanan itu nyata tidak cukup bertenaga untuk mengancam pasukan tuan rumah yang sebelum ini sering menjadi “lauk” kepada Harimau Malaya.
Walaupun begitu Malaysia terlebih dahulu mencipta jaringan hasil “tandukan terbang” Stuart Wilkin yang menerima hantaran cut-back daripada Daniel Ting pada minit ke-34 di separuh masa pertama.
Seminit kemudian, skuad kebangsaan hampir menambah jaringan hasil tandukan Paulo Josue ke penjuru kanan pintu gol Kemboja namun berjaya ditepis keluar penjaga gol, Vireak Dara.
Peluang untuk Harimau Malaya sekali lagi terhidang pada minit ke-42, malangnya bola hantaran Josue di hadapan pintu gol lawan gagal disudahkan oleh Haqimi Azim.
Jaringan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Kemboja yang kini menghuni tangga 180 ranking FIFA menambah asakan terhadap kubu kebangsaan dalam usaha memburu gol penyamaan.
Hasilnya, pada minit ke-52, Jimmy Raymond yang tampil pertama kali menyarung jersi kebangsaan gagal menahan kemas bola yang diterima.
Bola tersebut disambar oleh Kim Sokyuth yang kemudian melorong kepada Coulibaly Abdel Kader untuk menewaskan Haziq Nadzli untuk gol penyamaan.
Gol tersebut bagai tonik kepada Kemboja untuk terus menyerang ke kubu Harimau Malaya ditambah dengan sorakan padu para penyokong yang memenuhi Stadium Olimpik.
Kemboja berhasil menambah jaringan menerusi sepakan sudut pada minit ke-60 terus ke kaki pemain gantian, Sa Ty yang tidak dikawal untuk menolak ke kanan gawang Malaysia untuk 2-1.
Penyerang muda, Fergus Tierney yang dibawa masuk Pau Marti mendapat sentuhan pertama sebelum membuat turning untuk merembat lerek ke kanan gawang Kemboja pada minit ke-74 menjadikan kedudukan 2-2.
Gol penyamaan tersebut nyata menjadi penyelamat Harimau Malaya apabila sekurang-kurangnya mengutip satu mata untuk dibawa pulang.
Untuk rekod Malaysia tidak pernah gagal untuk menewaskan Kemboja dalam 54 pertemuan sebelum ini.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, juara bertahan Thailand membelasah Timot-Leste 10-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hang Day, Hanoi.
Thailand merupakan pasukan paling banyak menjuarai kejohanan yang sebelum ini dikenali sebagai Piala AFF Suzuki itu sebanyak tujuh kali.
Malaysia akan bertemu Timor-Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil Rabu ini bagi perlawanan kedua Kumpulan A manakala Singapura menerima kunjungan Kemboja. – Edisi 9