25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 27, 2022

Samakan dengan Sri Lanka, Najib ‘sekolahkan’ Kit Siang

Mesti Baca

DATUK Seri Najib Tun Razak hari ini “menyekolahkan” Lim Kit Siang apabila Mentor DAP itu menyamakan keadaan ekonomi negara dengan Sri Lanka.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Kit Siang tidak sepatutnya memberi komen tentang ekonomi negara sekiranya beliau tidak memahaminya.

Beliau berkata, Kit Siang cuba menakut-nakutkan rakyat bahawa Malaysia bakal muflis dan gagal serta menerima nasib sama seperti Sri Lanka.

“Membina persepsi salah bahawa Malaysia bakal menerima nasib yang sama seperti Sri Lanka. Supaya anak dia dan DAP kononnya boleh ‘Selamatkan Malaysia’.

“Uncle, kalau tak faham benda ekonomi ni, janganlah komen. Jauh beza keadaan Malaysia dengan Sri Lanka,” kata Najib menerusi Facebooknya hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, Sri Lanka sedang menghadapi krisis yang teruk pada ketika ini disebabkan kekurangan dana dalam mata wang asing untuk membayar hutang negara.

Katanya, walaupun ada propaganda negara barat yang menuduh China penyebab Sri Lanka tidak dapat membayar hutang asing, namun perkara itu tidak benar kerana hutang kepada negara China hanya 10 peratus daripada jumlah keseluruhan hutang asing Sri Lanka.

“Manakala baki 90 peratus lagi adalah hutang yang dipinjam oleh kerajaan Sri Lanka melalui terbitan bon-bon matawang asing,” kata beliau.

Bagi menjelaskan perkara tersebut, Najib berkata, terdapat empat perbezaan ketara antara Sri Lanka dengan Malaysia.

Baca juga:   Pertemuan Ismail Sabri dan Najib cetus spekulasi baharu
Baca juga:   Antara wang sitaan RM114 juta, Najib dan 'hilangnya' Amar Singh

Beliau berkata, perbezaan pertama dan paling penting ialah dari segi hutang kerajaan Sri Lanka dengan Malaysia.

Katanya, biarpun nisbah hutang kerajaan kepada KDNK bagi Malaysia naik mendadak selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kepada 62 peratus tetapi hanya 2.5 peratus atau kira-kira RM25 bilion sahaja daripada RM1 trilion hutang Malaysia adalah dalam bentuk mata wang asing.

Peningkatan mendadak itu, kata Najib, turut disumbang oleh bon samurai kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam bentuk Yen Jepun yang telah meningkatkan hutang mata wang asing negara yang cuma RM15 bilion sebelum PRU-14.

“Ini jauh berbeza berbanding Sri Lanka di mana nisbah hutang kerajaan mereka telah cecah 100 peratus di mana lebih 50 peratus daripada hutang mereka adalah dalam bentuk mata wang asing.

“Sebab lebih 97 peratus daripada hutang kerajaan Malaysia adalah dalam mata wang Ringgit maka kita tidak terdedah kepada keadaan di mana negara tak cukup dana mata wang asing untuk bayar hutang kepada peminjam asing,” jelas beliau.

Perbezaan kedua, tambah Najib, Malaysia telah mencatat lebihan (surplus) bagi perdagangan antarabangsa secara memanjang sejak berpuluh tahun lalu, bermakna nilai eksport kita adalah lebih tinggi berbanding nilai import.

Katanya, ini jauh berbeza dengan Sri Lanka yang mencatatkan defisit perdagangan antarabangsa secara memanjang.

Manakala perbezaan ketiga adalah dari segi jumlah rizab antarabangsa Malaysia adalah dalam trend menaik dan sering mencecah US$100 bilion sejak tahun 2000.

Baca juga:   Rakyat mahu kembali ke pangkuan BN, Najib?

“Keadaan rizab antarabangsa kita cuma kritikal pada tahun 1990-an susulan sebahagian besar rizab asing kita lesap dalam skandal Forex BNM (Bank Negara Malaysia) zaman PM4sehingga kita terancam dengan krisis ekonomi asia tahun 1998 apabila mata wang Ringgit diserang dan negara tidak cukup dana asing untuk mempertahankannya.

“Rizab antarabangsa Sri Lanka pula adalah lemah sejak 20 tahun lalu dan pada kemuncaknya cuma sampai US$10 bilion dan kita telah menurun ke bawah US$2 bilion berbanding hampir US$120 bilion bagi Malaysia,” jelas beliau.

Kata Najib, pandemik Covid-19 juga memburukkan keadaan bagi Sri Lanka disebabkan industri pelancongan asing merupakan sumber utama bagi aliran masuk dana asing ke Sri Lanka.

Baca juga:   Najib kata kawal harga ayam tidak selesai masalah pokok

Ini tak sama dengan Malaysia, katanya, di mana penyumbang utama adalah sektor pembuatan dan eksport minyak/gas serta komoditi seperti minyak sawit yang semakin meningkat susulan pembukaan semula ekonomi dunia. – Edisi 9

Terkini

SFC digesa tangani konflik buaya, manusia – Wan Junaidi

SARAWAK Forestry Corporation (SFC) digesa mengambil langkah proaktif dan holistik bagi menangani insiden serangan buaya yang semakin kerap berlaku...

Lagi Artikel Berkaitan