25.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Ahli Parlimen PH sokong RUU Anti Lompat Parti

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PAKATAN Harapan (PH) menyatakan komitmen penuh bahawa kesemua ahli Parlimen gabungan itu akan memberi sokongan terhadap meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang akan dibentangkan Isnin depan.

Majlis Presiden PH dalam kenyataan memaklumkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberikan komitmen bahawa tiada perubahan kepada notis mesyuarat persidangan khas Dewan Rakyat dijadualkan 11 April ini.

Menurut Majlis Presiden PH, komitmen itu disuarakan Perdana Menteri dalam pertemuan bersama pimpinan utama PH pagi tadi.

Pertemuan itu bagi mendapatkan penjelasan berhubung status pembentangan RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan (Anti Lompat Parti) pada 11 April ini.

Kenyataan itu menyebut, Perdana Menteri telah memberi komitmen bahawa tidak ada perubahan kepada notis mesyuarat persidangan khas Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 11 April seperti mana yang telah diedarkan kepada ahli-ahli Parlimen.

“Majlis Presiden PH memberi komitmen penuh bahawa kesemua ahli Parlimen PH akan memberi sokongan bagi tujuan meluluskan pindaan Perlembagaan ini,” katanya.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan pimpinan utama PH iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfried Madius Tangau.

Kenyataan itu turut memaklumkan Anwar yang juga Ketua Pembangkang turut membangkitkan isu aplikasi MySejahtera yang didakwa dimiliki sebuah syarikat negara asing.

Majlis Presiden PH beranggapan, isu tersebut perlu diberi penjelasan penuh kepada Dewan Rakyat.

Pada 24 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan keputusan Perdana Menteri supaya satu Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membentangkan rang undang-undang itu yang akan diadakan pada 11 April ini.

Namun, ia tertakluk kepada kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang akan diadakan pada 6 April ini. – Bernama

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan