32.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Pesara polis tembak kucing didenda RM6,500

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MAHKAMAH Majistret Selayang menjatuhkan hukuman denda RM6,500 ke atas seorang pesara polis atas kesalahan melakukan khianat dengan menembak seekor kucing jantan yang memakan ayam peliharaannya dan melepaskan tembakan di tempat awam.

Hukuman diputuskan Majistret Nik Fadli Nik Azlan ke atas Zainol Abidin Md Zain, 65, selepas lelaki itu menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes itu hari ini.

Bagi pertuduhan khianat, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara enam bulan, manakala denda RM1,500 atau penjara dua bulan untuk kesalahan melepaskan tembakan di tempat awam.

Zainol Abidin didakwa dengan sengaja membunuh haiwan itu menggunakan senapang patah di kawasan kebunnya di Kampung Setia di Kuang, Selangor jam 6.40 petang pada 1 Julai 2020.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bapa kepada tujuh anak itu turut didakwa melepaskan tembakan di tempat awam menggunakan senjata sama pada masa dan di tempat sama mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 (Akta 206) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 43 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Advertisements

Timbalan Pendakwa Raya Nur Shasha Hidayah Nor Azahar memohon hukuman setimpal supaya menjadi pengajaran kepada tertuduh kerana tiada sebab munasabah untuk dia melepaskan tembakan kepada kucing yang bukan haiwan berbahaya kepada sesiapa pun.

“Adalah tidak wajar untuk tertuduh menembak kucing sehingga mati dengan alasan haiwan itu memakan ayam belaannya.

“Walaupun tertuduh mempunyai lesen memiliki senjata api, perbuatannya melepaskan tembakan di tempat awam dan membunuh kucing adalah tidak patut,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Peguam Azman Abdullah yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya telah menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

“Kucing itu telah memakan ayam anak guam saya dan pelbagai cara dilakukan olehnya untuk mengelak kucing terbabit daripada makan ayam belaannya itu.

“Kucing itu telah ditembak serta ditanam sendiri olehnya dan senjata yang digunakan adalah senapang patah milik arwah datuk tertuduh dan dia memiliki lesen senjata api,” kata peguam itu.

Advertisements

Terkini

TLDM tubuh lembaga siasatan tragedi nahas dua helikopter

TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian maut melibatkan dua buah helikopter...

Lagi Artikel Berkaitan