33 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Suspek tembak anggota Maritim Malaysia dikehendaki ESSCOM

Mesti Baca

TIGA suspek kejadian tembakan di perairan Kunak yang mengakibatkan dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) cedera dipercayai dari kumpulan yang berada dalam senarai dikehendaki pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, pihaknya juga percaya kesemua suspek merupakan individu yang terlibat dalam siri rompakan di laut serta berkemungkinan mempunyai jaringan dengan beberapa kumpulan jenayah rentas sempadan.

Beliau berkata, salah seorang suspek telah dikenal pasti dan kesemua mereka dipercayai bukan warga tempatan.

“Berdasarkan maklumat berkenaan, Maritim Malaysia telah mengatur gerakkan Pasukan Tindakan Khas & Penyelamat (STAR Team), pasukan pesawat udara Maritim Malaysia, pasukan Perisikan Maritim serta dibantu pasukan ESSCOM bagi mengesan dan memburu kesemua suspek tersebut,” katanya di Tawau hari ini.

Dalam kejadian Ahad lalu, sebuah bot enjin sangkut berwarna biru, yang dinaiki suspek telah melepaskan empat das tembakan ke arah Bot Banggi 48 milik Maritim Malaysia ketika anggota bot cuba mendekati bot suspek untuk pemeriksaan rutin Operasi Khas Pagar Laut.

Berikutan itu, anggota penguat kuasa Bot Banggi 48 yang terdiri seramai enam orang anggota membalas tembakan dan dua daripada anggota berkenaan cedera manakala penjenayah terbabit berjaya melarikan diri.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta untuk memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada pihak Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Advertisements

“Maritim Malaysia turut menasihatkan kepada orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menularkan sebarang perkara yang tidak pasti atau berita palsu.

“Ini kerana ia boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Hamid berkata, Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel yang cedera di mata kiri akibat terkena tembakan hilang penglihatan sebelah mata.

Beliau berkata, ini kerana peluru tersebut terkena pada bahagian saraf mata dan tidak dapat diselamatkan.

“Alhamdulillah sebelah kanannya itu elok, insya-Allah ini menjadi satu insiden yang amat sensitif bagi kita,” katanya.

Beliau mengesahkan seorang lagi anggota yang cedera di kedua-dua belah tangannya, Laskar Kanan Maritim Prayrie De Cuella Jimin berada dalam keadaan stabil. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

In Saff Travel tawar pakej umrah serendah RM4970

BERUSAHA memberikan yang terbaik terhadap pelanggannya, syarikat pengendali pakej umrah, In Saff Travel & Tours Sdn Bhd menampilkan pakej...

Lagi Artikel Berkaitan