27.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

500 peserta rebut juara M8 Malaysia Pushbike International

Mesti Baca

SERAMAI 500 peserta dari sembilan negara bakal berentap merebut kejuaraan Kejohanan M8 Malaysia Pushbike International yang akan berlangsung pada 4 dan 5 Mei depan.

Presiden The M8 Cycling Club, Datuk Seri Wan Mohd Muzri Ramli berkata, selaku penganjur, matlamat kejohanan terbabit adalah bagi melahirkan pelumba-pelumba cilik bertaraf antarabangsa menerusi perlumbaan yang diadakan.

“Satu kejutan untuk penganjuran kali ini di mana pasukan-pasukan dari pelbagai negara berbesar hati menyertai pertandingan ini termasuklah Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam, Filipina, China, Jepun dan Amerika Syarikat.

“Apabila pendaftaran dibuka, dalam tempoh lima jam sahaja, lebih 100 permohonan dari luar negara kami terima. Sehingga kini sudah 250 peserta luar negara sudah mengesahkan penyertaan mereka.

“Bagi memberikan kualiti terbaik dalam penganjuran, kami terpaksa hadkan jumlah peserta luar negara kerana faktor masa, tempat dan juga bagi memberi peluang kepada pelumba tempatan untuk sama-sama menyertai pertandingan ini,” katanya.

Acara tahunan berkenaan yang bakal menggegarkan M8 Training Center, Kajang mencatatkan penyertaan terbanyak dari Indonesia dengan 100 peserta.

Wan Mohd Muzri berkata, perlumbaan pushbike bertaraf antarabangsa itu mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia.

“Sebelum ini, kejohanan itu telah mendapat sokongan Kementerian Pelancongan. Tahun ini, pastinya lebih hebat. Terima kasih kepada kementerian yang terus memberi kepercayaan kepada M8.

“Kami berharap dalam penganjuran kali ini, pihak kementerian akan dapat memberi sokongan penuh sekali lagi kepada kami selaku penganjur.

Advertisements

“Dalam masa sama, kami berharap penganjuran ini dapat membantu dalam melahirkan atlet cilik terbaik dan juga menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia, seterusnya dapat mempertingkatkan ekonomi setempat,” katanya.

Bercakap tentang persediaan kejohanan kali ini, Wan Mohd Muzri menjelaskan ia agak mencabar terutama menyelia dan menyediakan track atau laluan perlumbaan yang memberi persaingan sengit serta menguji kepantasan setiap peserta.

“Memasuki tahun kelima penganjuran di peringkat antarabangsa, pastinya kami memerlukan persediaan yang lebih rapi dan dinamik. Kali ini lebih mencabar dari segi tempat tetapi memberi impak yang menarik,” katanya.

Sementara itu, Wan Mohd Muzri berharap melalui pertandingan itu, Malaysia dapat menjadi hub pertandingan pushbike terbaik di Asia, disamping dapat melahirkan atlet cilik yang berwibawa dan seterusnya dapat menjadikan Malaysia tumpuan dunia.

“Penganjuran ini bukan sahaja di peringkat pushbike pada usia dua hingga sembilan tahun. Tapi dengan terlahirnya mereka yang berbakat dapat memberi peluang ke peringkat yang lebih baik melalui perancangan dari M8 bersama rakan kerjasama.

“M8 bakal bekerjasama pada tahun ini bersama ZK Racing dan SIC Racing dengan penganjuran bersama pushbike dan sukan lumba motor iaitu FIM MiniGP Malaysia dan SIC Ohvale Junior Championship.

“Malaysia juga bakal mempertaruhkan bakat hebat lain antaranya Maleeq Dragster yang akan berlumba di kategori lima tahun.

“Diharapkan Maleeq mampu mempertahankan kejuaraanya dalam kejohanan sebelum ini,” katanya lagi. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan