24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Cadang PM bentang RUU Anti Lompat Parti minggu pertama Julai ini

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob dicadangkan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi membolehkan Rang Undang-Undang (RUU) Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti dibentangkan di Dewan Rakyat, minggu pertama Julai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keputusan itu dicapai semalam melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti Bilangan 6 Tahun 2022 bagi memaklumkan cadangan kepada Perdana Menteri.

Beliau yang juga Pengerusi jawatankuasa itu berkata, keputusan tersebut diputuskan secara sebulat suara yang meminta dan mencadangkan kepada Perdana Menteri selaras Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Semua ahli mesyuarat bersetuju dan memuktamadkan draf RUU Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti (Pindaan) (No. 3) 2022 boleh dibentangkan serta dibahaskan dalam Dewan Rakyat.

“Secara umumnya, Jawatankuasa Pilihan Khas ini berjaya melaksanakan terma rujukan sebagaimana usul yang diluluskan pada 11 April lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan.

Wan Junaidi berkata, lima persoalan dasar telah dibangkitkan Jemaah Menteri semasa mesyuarat pada 1 Jun lalu, dan ia telah diulas dan dijawab Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dalam mesyuarat semalam.

Katanya, maklum balas Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan perkara itu akan dibawa semula sebagai suatu Nota Jemaah Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.

Advertisements

“Pencapaian ini merupakan hasil komitmen bersama semua ahli jawatankuasa dengan sokongan padu Parlimen, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara.

“Mesyuarat terakhir akan diadakan dalam masa terdekat untuk mengesahkan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Wan Junaidi komited dengan Jawatankuasa Pilihan Khas berhubung pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dapat menyediakan penyata mengandungi cadangan RUU itu.

Katanya, perkara itu dapat direalisasi kerana jawatankuasa itu dianggotai oleh pakar dan pengamal undang-undang yang berpengalaman bagi menggubal undang-undang berkenaan.

Ahli Parlimen kerajaan yang menganggotai jawatankuasa khas itu ialah Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas), Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Bersatu-Larut), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) dan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti).

Wakil pembangkang pula membabitkan Gobind Singh Deo (PH-Puchong), Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang), Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) dan Datuk Ignatius Dorell Leiking (Warisan-Penampang).

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan