30.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 27, 2022

VTL ke Thailand, Kemboja mulai 15 Mac – Ka Siong

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MALAYSIA memperluaskan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara ke Thailand dan Kemboja bermula 15 Mac ini, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Menurut beliau, ini susulan perbincangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan kedua-dua pemimpin negara tersebut yang membuahkan hasil sebagai usaha ke arah pembukaan semula sempadan antarabangsa. 

Beliau berkata, menerusi VTL tersebut, pengembara yang telah divaksin sepenuhnya tidak perlu menjalani kuarantin semasa ketibaan. 

“Untuk VTL ke Thailand, syarikat penerbangan yang ditetapkan dari kedua-dua negara dibenarkan beroperasi sehingga enam penerbangan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Bangkok dan sehingga empat penerbangan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Phuket. 

“Laluan baharu boleh ditambah dari semasa ke semasa tertakluk kepada persetujuan bersama oleh kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca juga:   Sokong syor buka semula sempadan negara dengan SOP ketat

Dalam lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke Kemboja dan Thailand minggu lalu, antara perkara yang dibincangkan ialah pembukaan laluan VTL udara antara negara berkenaan.

Beliau berkata, bagi VTL ke Kemboja pula, syarikat penerbangan yang ditetapkan dari kedua-dua negara dibenarkan beroperasi sehingga dua penerbangan sehari bagi laluan Kuala Lumpur-Phnom Penh.

“Laluan baharu boleh ditambah dari semasa ke semasa tertakluk kepada permintaan pasaran,” ujarnya. 

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, laluan VTL ini akan dikendalikan oleh semua syarikat penerbangan yang ditetapkan di bawah inisiatif VTL. 

Baca juga:   PDRM kerah anggota, aset tambahan perkukuh kawalan sempadan

“Prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang berkaitan akan dikeluarkan oleh agensi masing-masing dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun, pengembara diingatkan supaya terus mematuhi protokol kesihatan secara bertanggungjawab untuk menikmati kemudahan VTL ini,” katanya.

Menurut Ka Siong, kerajaan akan meneruskan perbincangan dengan semua negara jiran ASEAN mengenai pembukaan semula laluan tambahan yang selamat pada masa hadapan mengikut situasi semasa.

Kata beliau, laluan VTL baharu ini dijangka dapat membantu memulihkan semula jaringan ekonomi terutamanya dalam sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.- Edisi 9

Terkini

Polis cedera ditetak penagih di Shah Alam

SEORANG pegawai polis parah di tangan, manakala seorang lagi anggota cedera selepas ditetak seorang penagih dadah dalam kejadian di...

Lagi Artikel Berkaitan