KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) memutuskan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan bagi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) melalui udara antara Malaysia dengan Singapura, Thailand dan Kemboja akan diseragamkan bermula esok.
Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, SOP itu akan dilaksanakan berasaskan kaedah Test and Release di mana pengembara tidak perlu menunggu keputusan ujian COVID-19 semasa ketibaan lapangan terbang.
“Pengembara hanya perlu menjalani pengambilan calitan ujian COVID-19 semasa ketibaan dan dibenarkan untuk meneruskan perjalanan ke tempat penginapan masing-masing,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, arahan itu sepertimana yang diisytiharkan dalam aplikasi MySejahtera Perintah Pengawasan dan Pemerhatian.
“Pengembara kemudiannya akan menaiki kenderaan pengangkutan persendirian, teksi atau kereta sewa persendirian.
“Pengembara juga perlu mengasingkan diri sementara menunggu keputusan ujian COVID-19 yang akan diperolehi dalam tempoh 24 jam,” katanya.
Kata beliau, setelah keputusan negatif diperoleh, pengembara akan dibenarkan untuk menjalankan aktiviti mereka.
Jelasnya lagi, sekiranya keputusan positif diperolehi, pengembara tersebut akan mengikuti protokol kesihatan sedia ada yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).